
Laporan/foto: Noorshazana Shaadan/Leazmi Leman (Port Dickson)
PORT DICKSON, 12 Sep (Malaysiaaktif) – Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) yang telah diluluskan oleh kabinet baru-baru ini optimis menjadikan taraf kesihatan rakyat di negara ini dalam keadaan terbaik.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Adham Baba, berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sentiasa berusaha mengambil inisiatif dalam membantu rakyat mencapai dan mengekalkan taraf kesihatan agar boleh menjalankan aktiviti harian secara produktif.
“Kami di KKM telah merangka satu pelan iaitu ‘Tawaran Baharu KKM’ sebagai hala tuju baharu kementerian untuk ditawarkan kepada rakyat Malaysia.
“Salah satu inisiatif Tawaran Baharu ini adalah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) yang mempunyai empat teras dan kesemua gabungan teras ini meliputi promosi amalan cara hidup sihat, penyediaan perkhidmatan promosi kesihatan, kawalan kendiri kesihatan serta kebersihan persekitaran bagi mengurangkan penyakit akibat cara hidup yang tidak sihat.
“Antara inisiatif tersebut adalah dengan mewujudkan hub kesihatan yang menjadi pusat sehenti yang menyediakan kemudahan dan perkhidmatan promosi kesihatan kepada komuniti setempat, dan sehingga kini, KKM telah mewujudkan sebanyak 28 hub kesihatan yang telah beroperasi sepenuhnya di seluruh negara,” katanya ketika merasmikan Wellness Hub Bagan Pinang, di sini hari ini.
Pelbagai perkhidmatan dan program intervensi disediakan di hub kesihatan ini antaranya aktiviti fizikal dan senaman berjadual, Intervensi pengurusan berat badan – I Fit and Eat Right (IFitEr), perkhidmatan berhenti merokok, preskripsi senaman melalui klinik senaman, Penilaian Sendiri Risiko Kesihatan (PSRK), runding cara hidup sihat dan aktiviti santun masyarakat kepada komuniti.
Adham berkata hasrat Kementerian Kesihatan melalui kemudahan dan perkhidmatan hub ini, ramai rakyat Malaysia akan menjadi lebih sihat dan kesihatan perlu dinilai sebagai salah satu aset yang paling berharga.
“KKM amat mengalu-alukan penglibatan pihak swasta dan pertubuhan bukan kerajaan dalam merealisasikan ANMS supaya dapat terus dilaksanakan dan meningkatkan imuniti masyarakat melalui pembinaan dan menaik taraf klinik desa untuk dijadikan hub kesihatan di seluruh Malaysia.
“Wellness Hub Bagan Pinang merupakan yang pertama dilancarkan di Malaysia dan kita akan turut melancarkan empat lagi hub ini di Batu Pahat di Johor, Alor Setar dan Sungai Petani di Kedah dan Kuala Sawah di Negeri Sembilan,” katanya.

Adham (empat dari kiri) turut menyampaikan hadiah Program IFitEr Siri 1/2020 Wellness Hub Bagan Pinang.
Adham turut menyampaikan hadiah bagi pemenang IFitEr Wellness Hub (WH) Bagan Pinang serta melawat ke bangunan Wellness Hub Bagan Pinang dan Klinik Senaman.
Suarti Dasua, 30, pemenang emas IFitEr WH Bagan Pinang, berkata beliau tidak menjangka akan memenangi emas dalam program ini kerana beliau hanya sekadar suka-suka dan ingin menurunkan berat badan ketika mula menyertainya.
“Ia adalah satu kegembiraan apabila sasaran untuk menurunkan berat badan daripada 74.6 kilogram kepada 59.8 kilogram dalam masa enam bulan dan melepasi paras indeks jisim tubuh yang sepatutnya menjadi kenyataan.
“Ternyata, program ini banyak membantu mendidik dan menjadikan saya lebih sihat bukan sahaja secara fizikal, malahan mental serta ilmu kesihatan ini bukan hanya tertumpu ketika di WH sahaja tetapi diamalkan sehingga ke rumah,” katanya.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Bagan Pinang Datuk Tun Hairuddin Abu Bakar.