
Laporan/foto: Hazlinah Samsir/Azman Jumat (Kota Kinabalu)
PAPAR, 4 Sep (Malaysiaaktif) – Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) Negeri Sabah memastikan bekalan darah dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) mencukupi.
Pengarah Kesihatan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah Datuk Dr Christina Rundi, berkata krisis bekalan darah dihadapi disebabkan program-program derma darah yang biasanya dilakukan pada hujung minggu tidak lagi dapat dijalankan waktu ini.
“Atas saranan kerajaan yang memerlukan rakyat untuk duduk di rumah pada awal pandemik COVID-19 melanda negara, program derma darah yang telah dirancang terpaksa dibatalkan.
“Meskipun kita dapat menyusun semula penjadualan pembedahan bukan berbentuk kecemasan, namun kita masih tidak dapat mengelak dari keperluan darah semasa apabila terdapat kes kemalangan, kecemasan, kelahiran berisiko dan penyakit darah seperti talasemia.
“Dalam kegawatan bekalan darah dan stigma masyarakat yang takut untuk datang ke hospital untuk menderma kerana wabak tersebut, BSMM muncul mengadakan program derma darah di 20 buah daerah bagi membantu menangani masalah ini,” katanya dalam Majlis Penutupan Program Derma Darah Pandemik COVID-19, di sini baru-baru ini.
Sementara itu, Penyelaras Program Derma Darah berkenaan Leslie Chan Boon Siang, berkata inisiatif itu diilhamkan apabila mendapat maklum balas daripada orang awam mengenai kebimbangan mendapat jangkitan sekiranya menderma darah di hospital.
“Pada awalnya kami menerima panggilan telefon daripada pihak hospital untuk membantu dalam mempromosikan kempen derma darah yang dilakukan di hospital.
“Setelah menerima maklum balas mengenai kekangan orang ramai yang bimbang terkena jangkitan sekiranya ke hospital, kami membuat perbincangan bersama Unit Perubatan Tranfusi bagi merangka prosedur operasi standard (SOP) dan mendapatkan kelulusan daripada Jabatan Kesihatan Negeri Sabah untuk membuat program derma darah di luar premis hospital,” katanya.
Sebanyak 3,510 beg darah dapat dikumpulkan dalam 86 program derma darah di 20 buah daerah yang dibantu oleh 200 orang sukarelawan dari 31 Mac 2020 hingga 31 Ogos 2020 lalu.
-SH