
Foto: Infografik KKM
PUTRAJAYA, 30 Sep (Malaysiaaktif) – Malaysia mencatatkan 101 kes baharu COVID-19 menjadikan jumlah kes positif adalah 11,135 dengan kebolehjangkitan adalah 1,062 kes, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
Daripada kes baharu itu, empat adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara melibatkan seorang warganegara dan tiga bukan warganegara dari Myanmar iaitu dua kes di Sarawak, Arab Saudi (satu kes di Sarawak) dan Nigeria (satu kes di Selangor).
“Daripada 97 kes penularan di dalam negara, 93 kes adalah warganegara Malaysia dan empat kes adalah bukan warganegara.
“Sebanyak 17 kes mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah menjadikan jumlah kes sebanyak 63 sejak 20 Sept lepas,” katanya pada sidang media mengenai perkembangan terkini COVID-19.
Sebanyak 50 kes yang telah pulih COVID-19 menjadikan jumlah kumulatif kes pulih adalah 9,939 kes (89.3 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).
Dr Noor Hisham berkata terdapat 13 kes positif sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan lima memerlukan bantuan pernafasan, manakala tiada pertambahan kes kematian dilaporkan menjadikan jumlah kumulatif kematian kekal 134 kes (1.20 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).
Sementara itu, merujuk isu tular mengenai sebuah pusat membeli belah yang mengeluarkan kenyataan berhubung pekerja yang disahkan positif COVID-19, Dr Noor Hisham berkata Kementerian Kesihatan (KKM) menghargai tindakan proaktif pusat itu yang membantu dalam langkah kawalan dan pencegahan.
Bagaimanapun, KKM perlu menjalankan siasatan terperinci sebelum menyatakan sesuatu kawasan sebagai berisiko tinggi (hotspot) memandangkan penentuan hotspot adalah berdasarkan lokasi kes positif dan yang berpotensi menjadi punca penularan COVID-19.
“KKM perlu melakukan penilaian risiko dan kadar kebolehjangkitan sebelum menyatakan sesuatu tempat sebagai berpotensi menjadi punca penyebaran virus COVID-19,” katanya.
— BERNAMA