Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Kanak-kanak Pandu Kereta: Bapa Disaman

By 8 September 2020Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

PUTRAJAYA, 8 Sep (Malaysiaaktif) – Bapa kepada kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun yang memandu kereta seperti tular di media sosial telah dikenakan tindakan saman mengikut Seksyen 111 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Ketua Polis Daerah Rembau DSP Anuar Bakri Abdul Salam berkata saman berkenaan dikeluarkan berikutan tindakan membenarkan kenderaan lelaki berkenaan dipandu oleh pemandu bawah umur.

“Bertindak atas maklumat, polis telah menjalankan siasatan dan berjaya mengesan kereta dan kanak-kanak berkenaan. Siasatan awal mendapati kanak-kanak yang berusia sembilan tahun itu memandu kereta tersebut tanpa kebenaran dan pengetahuan bapanya yang berusia 47 tahun di Kampung Bongek, Rembau,” katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata satu laporan polis juga dibuat dan kertas siasatan telah dibuka mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 atas kesalahan pengabaian terhadap kanak-kanak yang disiasat oleh Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rembau.

“Polis mengucapkan terima kasih atas keprihatinan masyarakat terhadap isu ini dan berharap agar masyarakat sentiasa menyalurkan maklumat kepada kami,” katanya.

Semalam tular video berdurasi 43 saat yang memaparkan seorang kanak-kanak lelaki memandu sebuah kereta di media sosial Facebook.

Sementara itu di SEREMBAN, polis sedang mengesan bapa dan seorang kanak-kanak lelaki yang tular di aplikasi WhatsApp hari ini berkaitan kes membenarkan pemandu bawah umur memandu lori treler.

Ketua Polis Daerah Seremban ACP Mohd Said Ibrahim berkata ini berikutan hasil siasatan ke atas rakaman itu yang mendapati ia berlaku di kawasan Rantau.

“Rakaman itu memaparkan seorang kanak-kanak lelaki di bawah umur sedang memandu sebuah lori treler telah tular di WhatsApp pada 4.41 petang.

“Usaha mengesan bapa dan kanak-kanak yang belum dapat dipastikan umurnya sedang giat dijalankan dan siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata satu laporan polis telah diterima berkaitan video berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda