Foto: Kementerian Komunikasi Dan Multimedia Malaysia
PUTRAJAYA, 8 Sep (Malaysiaaktif) – Rancangan Temu Minda Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) edisi khas sambutan Hari Malaysia “Bumi Kenyalang: Kamek Kaya Budaya” yang diadakan di RTM Kuching malam tadi dan disiarkan secara langsung di saluran RTM 1 mengetengahkan kekayaan budaya yang terdapat di Sarawak.
Rancangan yang mempunyai dua segmen dan bersiaran selama 60 minit itu dimulakan dengan penjelasan panjang lebar oleh pakar sejarah Sarawak Datuk Dr Sanib Said dengan Menteri KKMM Datuk Saifuddin Abdullah bertindak selaku moderator.
Pada segmen kedua pula, para penonton disajikan dengan persembahan kumpulan At Adau, kumpulan muzik tradisional dunia kontemporari diasaskan pada Jun 2014, menonjolkan lagu tradisional dengan diiringi Sape diadun dengan perkusi tradisional dari pelbagai suku di Borneo seperti Bidayuh, Iban, dan Orang Ulu.
Pagi ini, Saifuddin dijadual mengadakan kunjungan hormat ke atas Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Taib Mahmud sebelum berlepas ke Sibu untuk menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Malaysia 2020.
Hari Malaysia disambut pada 16 September.
— BERNAMA