
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)
RAWANG, 3 Sep (Malaysiaaktif) – Dua buah kilang selenggara jentera berat yang disyaki menjadi punca berlaku pencemaran air di Sungai Selangor sehingga menjejaskan 1.2 juta pengguna diarah henti operasi serta merta.
Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor, Nor Aziah Jaafar, berkata pihaknya mengambil tindakan segera dengan mengeluarkan notis arahan memberhentikan operasi kepada premis yang terlibat.
“JAS mengarahkan premis yang terlibat memberhentikan operasi, maknanya tidak boleh lagi melakukan aktiviti membersih jentera-jentera berat, (disyaki) menyebabkan minyak hitam bercampur dengan air dan terus mengalir ke Sungai Gong.
“Kita juga arahkan premis untuk ambil langkah serta merta menjalankan tindakan pengawalan seperti memasang sistem rawatan air buangan yang dihasilkan bagi mencegah perkara ini berulang,” katanya.
Menurutnya, tindakan yang diambil JAS sebelum ini tidak memberi pengajaran kepada pihak kilang, perkara ini masih berulang.
Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas melakukan pemeriksaan di kilang yang terletak di Jalan Batu Arang, Kampung Sungai Dua bersama Exco Selangor, Hee Loy Sian hari ini.

Penguatkuasa LUAS menutup laluan air mengalir dari sebuah kilang di Rawang yang disyaki menyebabkan pencemaran bau hingga menjejaskan 1.2 juta pengguna.
Turut hadir, Ketua Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor (UPBN), Ahmad Fairuz Mohd Yusof serta Penolong Pengarah Bahagian Perundangan dan Penguatkuasaan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Haizam Irwan Tohar.
Sementara itu, Haizam berkata siasatan masih sedang dijalankan pihak LUAS dan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) serta agensi-agensi terlibat.
“Bau sehingga 3 ton dikesan di muka sauk Loji Pembersihan Air (LPA) terlibat dan pensampelan bau dijalankan berdekatan kawasan premis perindustrian yang disyaki di kawasan Sungai Gong.
“LUAS telah mengaktifkan Operasi Pengepaman Air Kolam (OPAK) Bestari Jaya sehingga 400 juta liter/hari (JLH) bagi tujuan meningkatkan faktor pencairan dan pelepasan air Empangan Sungai Tinggi 500 JLH.
“LUAS juga telah menaikkan satu river gate di Baraj Bestari Jaya bagi tujuan flushing dan mempercepatkan aliran ke hilir sungai,” katanya.
Terdahulu, Air Selangor memaklumkan tujuh wilayah di Selangor dan Kuala Lumpur dijangka berlaku gangguan bekalan air tidak berjadual iatu di Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat bermula jam 10 pagi hari ini.
Ianya susulan empat LPA terpaksa dihenti tugas di LPA Rantau Panjang, SSP1, SSP2, SSP3 ekoran insiden pencemaran bau yang telah dikesan di Sungai Selangor.
-NAZ