
Laporan/foto: Mastura Mohamed Rowther/Shamsul Bahari Abdul Shukor (Pulau Pinang)
GEORGETOWN, 25 Sep (Malaysiaaktif) – Seramai 200 orang penjawat awam dari seluruh Negeri Pulau Pinang menyertai Program Taklimat Isu-Isu Semasa Peringkat Negeri Pulau Pinang Tahun 2020 anjuran Jabatan Penerangan Malaysia Pulau Pinang (JaPen) yang diadakan di Kompleks Masyarakat Penyayang Jalan Utama, di sini.
Pada program tersebut, Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia Pulau Pinang Lim Ann Teck, berkata program ini diadakan bertujuan bagi penyaluran maklumat yang tepat dan sahih mengenai dasar, program dan isu-isu semasa yang berbangkit.

Ucapan Perasmian Program Taklimat Isu-Isu Semasa disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia Pulau Pinang, Lim Ann Teck.
“Program sebegini memberi ruang kepada semua lapisan masyarakat mendapat penjelasan terperinci serta bertukar pandangan dengan pakar-pakar dalam bidang yang berkaitan.
“Selain itu, program ini dapat menjadi agen perubahan masyarakat dalam menangani dakyah, fitnah, propaganda, jenayah sosial dan salah maklumat yang berlaku dalam kalangan masyarakat.
“Pelaksanaan taklimat ini adalah amat penting dalam usaha menyebarluas maklumat yang tepat dalam membantu pihak Kerajaan untuk menjelaskan isu-isu berbangkit semasa pelaksanaan dasar-dasar baharu yang diperkenalkan oleh Kerajaan dan dapat meningkatkan keyakinan dan kefahaman rakyat terhadap kepimpinan serta dasar-dasar kerajaan,” katanya, kelmarin.
Taklimat pertama dikendalikan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), bertajuk ‘Banci Penduduk & Perumahan 2020’-“Data Anda Masa Depan Kita”, disampaikan oleh Ketua Penolong Pengarah Azraai Abu Bakar.

Taklimat pertama disampaikan oleh Ketua Penolong Pengarah Jabatan Perangkaan Pulau Pinang, Azraai Abu Bakar.
Taklimat seterusnya bertajuk ‘Kesan Negatif Berita Palsu’ disampaikan oleh Pegawai dari Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Fatin Shuhaida Saiful Bahar.
Taklimat akhir yang disampaikan oleh Dr Mohamed Afiq Amsyar Hamedin, dari Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pulau Pinang yang menekankan ‘Pembudayaan Norma Baharu Dalam Komuniti Bagi Mencegah Penularan Wabak COVID-19’.

Taklimat akhir yang disampaikan oleh Dr Mohamed Afiq Amsyar Hamedin, dari Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pulau Pinang.
-ii-