Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanNegeri Sembilan

Perpaduan Masyarakat Pemangkin Malaysia Prihatin

By 2 September 2020Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Hamidah Md Drus/Shaharuddin Daud@Abu Hassan(Kuala Pilah)

KUALA PILAH, 2 Sep (Malaysiaaktif) – Suasana ceria disulami dengan semangat patriotik jelas kelihatan dalam progam Santai Ambang Merdeka di Kampung Geduhom sempena sambutan kemerdekaan yang ke-63.

Program yang dianjurkan bersama oleh Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Dangi, Pejabat Penerangan Daerah Kuala Pilah, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Kawasan Johol menyaksikan penduduk berhampiran telah memenuhi tapak program pukul 6.00 petang.

Menurut Pengerusi KRT Dangi Norhayati Abdullah, bagi memastilan program ini berjalan dengan baik, penduduk telah bertungkus lumus sejak seminggu yang lalu menghiasi kawasan kampung dengan hiasan Jalur Gemilang, membina pintu gerbang berkonsepkan menara dan membuat gimik pelepasaan kemerdekaan.

“Kesemua aktiviti ini jelas menunjukkan semangat bersatu padu adalah kunci kepada kejayaan sesebuah perancangan yang selari dengan konsep Malaysia Prihatin.

“Keprihatinan masyarakat dalam setiap aspek kehidupan bermasyarakat jelas memenuhi asprisiasi kerajaan dalam membentuk masyarakat yang cakna mengenai kepentingan bersatu padu,” ujarnya.

Dalam pada itu pelbagai acara menarik telah diadakan untuk memeriahkan sambutan malam kemerdekaan pada tahun ini, antaranya ialah pertandingan busana merdeka yang jelas menunjukkan kreativiti dan semangat para ibubapa dan anak-anak yang bertanding.

Bagi Nurul Hasmi Mohamad, 30, walaupun sambutan kemerdekaan tahun ini dalam suasana norma baharu, tetapi ia tetap diraikan dengan meriah namun dengan cara yang berbeza.

“Tiada perarakan dan pertunjukkan bunga api tidak bermakna kita tidak boleh menyambutnya, dalam mengharungi suasana norma baharu sekarang, kesihatan diri adalah lebih utama,” katanya.

Kemuncak program adalah paluan gong oleh Ahli DUN Johol, Saiful Yazan Sulaiman sebanyak tiga kali, diikuti oleh nyanyian lagu Negaraku dan Jalur Gemilang serta laungan merdeka.

-AK

Tinggalkan komen anda