Laporan/foto: Sheik Amilhisham Sheik Hashim/Parimala Devi Suppiah (Jelebu)
JELEBU, 2 Sep (Malaysiaaktif) – Seramai kira-kira 300 orang belia telah menyertai Jelajah Merdeka anjuran Pejabat Penerangan Daerah Jelebu sepanjang 233.5 kilometer menjelajah seluruh daerah ini.
Ahli Parlimen Jelebu Datuk Jalaluddin, berkata semua orang perlu menghormati dan menghayati perjuangan orang terdahulu serta meningkatkan semangat patriotism dan rasa cinta kepada tanah air dan tidak mengganggu gugat kestabilan dan keamanan negara.
“Kita ingin tunjukkan kepada rakyat supaya mereka juga turut sama menyemarakan semangat kemerdekaan dengan mengibarkan Jalur Gemilang sama ada di kenderaan, rumah, premis dan sebagainya,” katanya ketika merasmikan program tersebut.
Beliau turut menyeru masyarakat untuk bersama menghayati semangat Rukun Negara yang menjadi tonggak perpaduan dan amalan hidup rakyat Malaysia.
Jelajah motosikal yang di ketuai oleh Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Jalaluddin Alias tersebut telah bermula dari Sekolah Kebangsaan Amar Penghulu dan berakhir di Muzium Adat Kuala Klawang.
Beberapa jabatan dan agensi kerajaan di daerah ini turut terlibat dalam menjayakan program tersebut antaranya adalah Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Kesihatan Malaysia, Jabatan Penjara Malaysia, Jabatan Pertahanan Awam (JPAM), Jabatan Penyiaran Negeri Sembilan, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan lain-lain.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Kawasan Pertang Noor Azmi Yusof dan Ahli DUN Kawasan Sungai Lui Mohd Razi Mohd Ali.
-AK