Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanMelaka

PMM Perkasa Aktiviti Sukan Norma Baharu

By 18 September 2020Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Rozer Masudin/PMM

MERLIMAU, 18 Sep (Malaysiaaktif) – Politeknik Merlimau (PMM) cakna dengan perubahan dan prosedur operasi standard (SOP) mengenai amalan norma baharu akibat penularan pandemik COVID-19 terutama yang berkaitan kegiatan sukan.

Ketua Unit Sukan, Kokurikulum dan Kebudayaan (USKK), Amir Awang @ Muda, berkata PMM menerusi unitnya sentiasa mendokong dasar kerajaan dalam memastikan penglibatan pelajar bagi aktiviti kokurikulum terutama sukan diberi penekanan terhadap pematuhan SOP.

“PMM mengambil pendekatan yang proaktif seiring dengan arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dengan mengehadkan aktiviti sukan dalam kampus terutama sukan bersentuhan seperti ragbi, bola sepak, bola jaring dan bola tampar.

“Walau bagaimanapun, penglibatan pelajar di luar kampus bagi mewakili negeri dan negara masih lagi dibenarkan dengan syarat mematuhi SOP yang ditetapkan oleh MKN, KKM, Kementerian Belia dan Sukan Malaysia, Majlis Sukan Negara,” katanya ketika ditemui di Kampus PMM, di sini.

PMM antara Politeknik di Malaysia yang telah banyak mengharumkan nama institusi pendidikan dalam bidang sukan kerana terlibat dan merangkul beberapa kejohanan utama sukan.

Antara aksi Amalul pada Temasya Sukan SEA 2019 Manila yang membantu Malaysia membutirkan pingat Perak.

Antara aksi Amalul (kanan) pada Temasya Sukan SEA 2019 Manila yang membantu Malaysia membutirkan pingat Perak.

Antara lain ialah Sukan Ragbi di mana atletnya Amalul Hazim Nasarrudin merupakan atlet peringkat kebangsaan yang membantu Malaysia meraih pingat perak di Sukan SEA 2019.

“Berbicara soal latihan sukan oleh atlet PMM, ketika ini, Amalul Hazim Nasarrudin dan Cassler Dominic Anak Gisang sedang melakukan latihan intensif di ibu negara bersama skuad ragbi kebangsaan bagi menghadapi kejohanan akan datang iaitu Sukan Komanwel dan beberapa kejohanan utama.

“Walaupun bagi sukan ragbi tiada penganjuran bagi tahun ini, tetapi kedua-dua atlet PMM ini sentiasa komited menyertai latihan yang direncana oleh skuad ragbi kebangsaan,” ujarnya lagi.

Pelbagai inisiatif dan insentif telah diperkenalkan oleh PMM sejak awal penubuhannya dalam memberikan pengiktirafan kepada pelajar dan pensyarah melalui pelbagai kaedah seperti penganjuran PMM Curricular Award secara dwi tahunan, menyediakan kemudahan sukan lengkap, penyertaan dalam pelbagai acara sukan anjuran Majlis Sukan Politeknik, Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) serta memberi sokongan kepada pelajar yang mewakili negeri dan negara.

-SH

Tinggalkan komen anda