
Laporan/foto: Muhammad Fandy Azam (Melaka Tengah)
MELAKA, 23 Sep (Malaysiaaktif) – Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Paya Rumput, Muhammad Haikal Othman, 16, menghasilkan rekaan yang kreatif sehingga memenangi Anugerah Pereka Fesyen Terbaik Peringkat Sekolah baru-baru ini.
Ketika ditemui, Haikal melahirkan rasa gembira dan syukur kerana usaha yang dicurahkan dalam pertandingan anjuran pihak sekolah diangkat sebagai pemenang malah dipuji orang ramai.
“Saya menanam cita-cita untuk menjadi seorang peguam tersohor negara sambil mempunyai minat dalam bidang rekaan fesyen. Saya menjadikan minat ini sebagai satu hobi bagi mengisi masa lapang sejak dari kecil dan mendapat sokongan sepenuhnya oleh ibu bapa,” katanya.
Haikal menjelaskan bahawa beliau menjadikan ikon pereka fesyen lelaki yang terkenal seperti Hatta Dolmat dan Rizman Ruzaini sebagai idola dan sumber inspirasinya.
Menurut Pengetua SMK Paya Rumput, Azilah Baharom, pihak sekolah sentiasa mencari inisiatif bagi mencungkil bakat yang ada pada para pelajar untuk menghasilkan sesuatu gerak kerja mahupun kreativiti dalam apa jua pertandingan yang dianjurkan.
“Melihat atas faktor masa depan pelajar sebagai dorongan mereka untuk mencapai cita – cita kelak, pihak sekolah akan merancang sesuatu yang baru bagi memberikan kepuasan kepada pelajar dari segi akademik malah kokurikulum,” ujarnya.
-KN