
Laporan/foto: Parimala Devi Suppiah/Abd. Halim Jumat (Jelebu)
JELEBU, 4 Sep (Malaysiaaktif) – Kerajaan telah merangka pelbagai langkah dalam mengerat dan mengekalkan perpaduan yang terjalin diantara rakyat Malaysia yang berbilang kaum, antaranya adalah Pelan Tindakan Perpaduan Negara (PTPN) 2021-2025.
Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Kawasan Pertang Noor Azmi Yusof, berkata rakyat perlu menerapkan nilai-nilai perpaduan di dalam diri supaya sejarah hitam 13 Mei tidak berulang yang boleh menggugat keamanan dan keharmonian negara kita.
“Perjanjian yang termaktub semasa menuntut kemerdekaan Tanah Melayu dapat dilihat menerusi perlembagaan dan prinsip-prinsip Rukun Negara dimana ia telah menggariskan kepentingan serta hak-hak semua kaum dan bangsa dibela tanpa prejudis yang menyokong perpaduan dalam negara ini, oleh itu kita tidak seharusnya berpecah belah” kata beliau ketika merasmikan Sesi Maklum Balas Rakyat Berhubung Draf PTPN 2021-2025.
Menurut Pegawai Perpaduan Daerah Jelebu, Tuan Asmarawati Tuan Nor, PTPN yang dibangunkan pada tahun 2018 tersebut merupakan cetusan daripada keputusan mesyuarat jemaah menteri yang diadakan pada 12 Ogos 2015.
“Pada 25 Mac 2020, selaras dengan penubuhan Kementerian Perpaduan Negara, jemaah menteri telah bersetuju agar PTPN dikaji semula dan diselaraskan berdasarkan teras pewujudan Kementerian Perpaduan Negara.
“Sebanyak lima teras strategik yang merujuk Rukun Negara sebagai rangka kerja PTPN ialah Membudayakan Perpaduan, Memupuk Semangat Patriotisme, Meningkatkan Keselamatan dan Keharmonian Komuniti, Memperkasa Khidmat Komuniti dan Mengukuhkan Kecekapan Organisasi,” katanya.
Turut hadir wakil Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Negeri Sembilan Fikri Emir Zulkefli.
-AK