Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerlis

Subur Semangat Patriotisme Dalam Jiwa Warga SK Oran

By 17 September 2020Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Noor Aini Hanapiah/Anuar Che Amat (Perlis) 

MATA AYER, 17 Sep (Malaysiaaktif) – Perpaduan dan semangat patriotik warga SK Oran sangat utuh dan telah dibuktikan melalui kejayaan pelbagai aktiviti yang telah dilaksanakan sempena Bulan Kebangsaan 2020.

Menurut Guru Besar SK Oran Zulkifli Arsyad, beliau merasa sangat teruja dengan kerjasama dan semangat patriotik yang ditunjukkan oleh warga sekolah ini dalam menjayakan pelbagai aktiviti yang bermula sejak dari 13 Julai yang lalu.

“Pelbagai program telah berjaya kita laksanakan bagi menyemarakkan lagi sambutan Hari Kebangsaan seperti pelancaran bulan kebangsaan, pertandingan mencipta replika daripada bahan terbuang, pertandingan mencipta sajak terbuka, pertandingan lagu patriotik dan lain-lain.

“Program seumpama ini juga secara tidak langsung dapat merapatkan lagi hubungan antara guru, pelajar, ibu bapa dan juga agensi-agensi kerajaan serta pemimpin tempatan,” katanya ketika menyampaikan ucapan aluan pada program Merdeka@Komuniti baru-baru ini.

Tambah beliau, peranan para guru bukan sahaja untuk mendidik tetapi juga untuk menerapkan kesedaran sivik ke dalam jiwa para pelajar seperti semangat patriotik dan cintakan tanah air serta menghargai alam sekitar.

“Tahniah saya ucapkan kepada semua pihak yang telah terlibat dalam menjayakan aktiviti di sekolah ini walaupun pada ketika ini kita masih tempoh Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) berikutan pandemik COVID-19 yang melanda negara.

“Setiap pertandingan yang dilaksanakan juga adalah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Kerajaan,” katanya lagi.

Guru Penyelaras AJK pertandingan pakaian daripada bahan terbuang Nazariah Khalil ketika ditemui berkata pertandingan ini yang telah disertai oleh 15 orang pelajar bukan sahaja dapat menonjolkan kreativiti para pelajar dalam mereka pakaian yang unik tetapi juga dapat mengeratkan lagi hubungan mereka dengan ahli keluarga yang turut membantu merealisasikannya.

“Para pelajar yang menyertai pertandingan ini menggunakan bahan-bahan terbuang seperti suratkhabar, plastik dan juga kotak-kotak terpakai bagi menghasilkan pakaian ciptaan mereka yang bertemakan kesedaran memelihara alam sekitar,” ujarnya.

Pada majlis tersebut, para tetamu turut disajikan dengan tayangan video ucapan YAB Perdana Menteri, persembahan lagu patriotik dan juga persembahan tarian tradisional Negeri Perlis iaitu Tarian Canggung.

-NI-

Tinggalkan komen anda