
PUTRAJAYA, 12 Okt (Malaysiaaktif) – Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) mencatatkan pertumbuhan positif 0.3 peratus pada bulan Ogos 2020 berbanding bulan yang sama pada tahun sebelumnya.
Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata peningkatan IPP pada bulan Ogs 2020 dipacu oleh pertumbuhan positif sebanyak 2.4 peratus dalam indeks pembuatan selepas mencatatkan pertumbuhan 2.9 peratus pada bulan Julai 2020.
“Subsektor utama yang menyumbang kepada kenaikan sektor pembuatan pada bulan Ogos 2020 adalah produk peralatan elektrik dan elektronik (6.9 peratus), kelengkapan pengangkutan dan pembuatan lain (6.9 peratus) dan makanan, minuman dan tembakau (4.7 peratus), kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, Mohd Uzir berkata indeks perlombongan dan elektrik, masing-masing menguncup 6.7 peratus dan 1.2 peratus pada bulan Ogos 2020 berbanding tempoh yang sama pada tahun sebelumnya.
Kemerosotan dalam output sektor perlombongan disebabkan oleh penurunan dalam indeks minyak mentah dan kondensat (-5.0 peratus) dan indeks gas asli (-8.0 peratus).
— BERNAMA