Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Kanak-kanak Lelaki Enam Tahun Maut Jatuh dari Tingkat 15

By 26 Oktober 2020Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

PUTRAJAYA, 26 Okt (Malaysiaaktif) – Seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun meninggal dunia selepas terjatuh dari tingkat 15, Flat Ladang Gemilang Satu, di Kuala Terengganu, dalam kejadian jam 4 petang semalam.

Mangsa, Mohamad Aryan Difa Danish Mohd Azizul, dikatakan terjatuh dari tingkap ruang tamu ketika tinggal bersendirian di rumah sewa keluarganya itu,

Ibu mangsa, Nurul Amelia Ali, 34 berkata beliau keluar sebentar ke kedai bersama anak bongsunya yang berusia empat tahun manakala mangsa ditinggalkan kerana sedang tidur bersendirian di ruang tamu ketika itu.

“Sebelum saya keluar beli makanan tadi, dia sedang tidur, jadi saya buka televisyen sebab selalunya kalau terjaga pun, dia akan menonton kartun sementara menunggu saya pulang dari kedai.

“Dalam perjalanan pulang ke rumah tadi, saya terima panggilan telefon daripada suami yang memaklumkan tuan rumah menghubunginya mengenai insiden kanak-kanak terjatuh…namun ketika itu saya langsung tidak terfikir bahawa yang jatuh itu adalah anak saya,” katanya ketika ditemui pemberita di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini semalam.

Nurul Amelia berkata beliau hanya menyedari kanak-kanak tersebut adalah anaknya apabila melihat pakaian mangsa.

Jenazah kanak-kanak itu akan dibawa balik ke rumah bapa Nurul Amelia di Kampung Batu Buruk, di sini untuk dikebumikan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Abdul Rahim Md Din ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda