
Foto: Infografik KKM
PUTRAJAYA, 10 Okt (Malaysiaaktif) – Jumlah kes harian baharu COVID-19 di negara ini bagi tempoh 24 jam lepas kekal tiga digit dengan 354 kes dicatatkan selain enam kematian baharu turut dilapor.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata perkembangan terbaharu itu menjadikan jumlah keseluruhan kes kini sebanyak 14,722, manakala kes aktif dengan kebolehjangkitan berjumlah 3,863 kes.
Beliau berkata Sabah merekodkan jumlah kes harian baharu paling tinggi dengan 274 kes berikutan lebih banyak aktiviti saringan dijalankan di lapangan, terutama di tujuh daerah yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran.
“Di Kedah hanya mencatatkan 10 kes susulan kejayaan kawalan bagi Kluster Tembok.
“Di Selangor sebanyak 24 kes, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 10 kes dan Wilayah Persekutuan Putrajaya dua kes,” katanya pada sidang media menerusi laman Facebook Kementerian Kesihatan (KKM), semalam.
Dr Noor Hisham berkata di Sarawak pula terdapat 10 kes, Pulau Pinang (8), Johor dan Terengganu masing-masing lima kes, Negeri Sembilan (4) dan masing-masing satu kes di Perak serta Wilayah Persekutuan Labuan.
Beliau berkata daripada kes baharu itu, 352 adalah kes penularan tempatan manakala baki dua lagi merupakan kes import melibatkan warganegara yang masing-masing pulang dari India dan Oman.
— BERNAMA