Skip to main content
HomePutrajaya

JPJ Tahan Lori ‘Kontena Tebuk’ Bawa Batu Ke Thailand

By 9 Oktober 2020Tiada komen1 minit bacaan

PUTRAJAYA, 9 Okt (Malaysiaaktif) – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perlis menahan tiga lori ‘kontena tebuk’ iaitu kontena yang diubah suai, bagi membawa muatan yang tidak dibenarkan untuk jenis kenderaan berat itu iaitu batu, ketika dalam perjalanan ke Thailand hari ini.

Pengarah JPJ Perlis Fatimah Mohamed Ali Piah berkata kesemua lori itu ditahan dalam operasi khas yang dilakukan di Kilometer 22 Jalan Chuchuh dekat sini awal pagi tadi ketika lori berkenaan keluar dari kuari berhampiran menuju ke sempadan negara.

“Kita bertindak hasil maklumat orang awam sebelum risikan dijalankan JPJ Perlis. Hasil pemeriksaan mendapati lori berkenaan melakukan beberapa kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) iaitu membawa muatan melebihi had yang dibenarkan iaitu 46.5 peratus lebihan muatan bagi lori pertama, 45 peratus lori kedua dan lori ketiga 59.9 peratus.

“Selain itu, lori terbabit juga melakukan pengubahsuaian kenderaan tanpa kebenaran JPJ iaitu bahagian atas kontena ditebuk bagi membawa muatan yang tidak dibenarkan untuk lori kontena iaitu batu,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Fatimah berkata tindakan terhadap syarikat lori yang bertanggungjawab melakukan pengubahsuaian itu diambil mengikut Seksyen 57(1)(b)(vi) APAD 2010 dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan tindakan denda tidak kurang RM1,000 dan maksimum RM500,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

Katanya, JPJ Perlis turut mengeluarkan notis 61(1) Akta Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk mengarahkan pemilik kenderaan berkenaan membuat pemeriksaan terhadap lori terbabit dalam tempoh 10 hari.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda