Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

KSN Negatif COVID-19, Jalani Kuarantin Kendiri Hingga 16 Okt

By 7 Oktober 2020Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Foto: Gambar fail

PUTRAJAYA, 7 Okt (Malaysiaaktif) – Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali hari ini memaklumkan hasil ujian pengesanan COVID-19 terhadap beliau adalah negatif dan beliau kini menjalani kuarantin kendiri di kediamannya hingga 16 Okt ini atas nasihat Kementerian Kesihatan (KKM).

“Saya telah menjalani ujian pengesanan COVID-19 dan Alhamdulillah, keputusannya adalah negatif. Saya akan meneruskan kuarantin kendiri sebagaimana disarankan kerajaan,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook miliknya.

Mohd Zuki berkata situasi itu tidak mengganggu urusan pentadbiran perkhidmatan awam kerana beliau akan bekerja dari rumah dan memanfaatkan aplikasi digital dalam pelaksanaan tugas seperti sidang video bagi mesyuarat-mesyuarat yang dipengerusikan atau dihadirinya.

Mohd Zuki menjalani ujian pengesanan COVID-19 dan kuarantin kendiri selepas seorang ahli mesyuarat yang turut dihadiri beliau pada 3 Okt lepas, disahkan positif COVID-19.

Sementara itu, beliau mengingatkan ketua jabatan agar memberi pelepasan khas daripada bertugas atau kebenaran bekerja dari rumah kepada pegawai yang disahkan mempunyai simptom jangkitan atau mempunyai kontak rapat dengan individu yang disahkan positif COVID-19 seperti dinyatakan dalam Garis Panduan Pengendalian Isu-Isu Berhubung Penularan Jangkitan Wabak COVID-19 di premis kerajaan bertarikh 16 Mac 2020.

Beliau juga menasihati penjawat awam dan petugas barisan hadapan agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dan tidak menyebarkan berita palsu yang boleh mencetuskan panik dalam kalangan masyarakat.

“Saya ingin mengajak seluruh penjawat awam terutamanya petugas barisan hadapan untuk terus tabah dan bersemangat dalam memberikan khidmat bakti yang terbaik dalam keadaan yang penuh mencabar ini.

“Patuhi SOP dan budayakan norma baharu sama ada dalam pelaksanaan tugas mahupun kehidupan seharian,” katanya.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda