Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanNegeri Sembilan

Pelihara Kesucian al-Quran Tanggungjawab Semua

By 8 Oktober 2020Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Suzilawati Kamarudin (Negeri Sembilan)

SEREMBAN, 8 Okt (Malaysiaaktif) – Akta Pencetakan Teks al-Quran 1986 telah dilaksanakan di Malaysia bagi memastikan  pematuhan terhadap undang-undang dan peraturan berkaitan dengan penerbitan teks al-Quran dan hadis yang dikawal secara telus, berkesan dan berterusan.

Setiausaha Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan, Kementerian Dalam Negeri (KDN), Mohd Nawardi Saad, berkata pihaknya sangat komited dalam mengawalselia dan menguatkuasakan aktiviti, penghasilan, percetakan, pengedaran bahan-bahan penerbitan filem, teks al-Quran dan hadis.

“KDN dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah mengharamkan buku-buku yang bercanggah dengan syariah dan diminta masyarakat untuk melaporkan kepada kami untuk dicegah dengan sebaiknya,” ujarnya ketika merasmikan Seminar Penerbitan al-Quran Resam Uthmani dan Hadith Nabawi Negeri Sembilan 2020, di sini kelmarin.

Sementara itu, menurut Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam Muhammad Amir Abdullah, umat Islam perlu menjaga akhlak dan adab dengan al-Quran.

“Tanggungjawab melupuskan dengan kaedah yang betul adalah tanggungjawab semua dan bukan diletakkan kepada mana-mana jabatan atau agensi tertentu sahaja.

“Pelupusan al-Quran secara individu perlulah dengan cara yang betul dan tertib atau boleh dibuat dengan cara mengumpulkan naskah al-Quran atau penerbitan yang mempunyai ayat al-Quran ke surau atau masjid untuk pengasingan dan barulah akan diuruskan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam.

Seminar yang memberi manfaat kepada lebih 50 orang peserta yang terdiri daripada guru, imam kariah dan jabatan kerajaan ini turut dihadiri Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan Mohd Zaidi Ramli.

-AK

Tinggalkan komen anda