
Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Jeffrey Nian (Labuan)
LABUAN, 21 Okt (Malaysiaaktif) – Masyarakat yang tinggal sekitar lokaliti Saguking Laut tidak perlu panik selepas penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan itu.
Menurut Ketua Polis Labuan Superintenden Muhamad Farid Ahmad, pihak berkuasa terutama Jabatan Kesihatan telah mengambil pelbagai langkah-langkah pencegahan bagi memberhentikan penularan wabak COVID-19 daripada kluster yang wujud dalam lokaliti tersebut.
“Pihak polis menempatkan seramai 40 orang anggota untuk menjaga lokaliti tersebut yang parameternya 1.84 kilometer melibatkan 1000 buah rumah dan 8064 orang penduduk yang mana 32 orang daripadanya sudah didapati positif COVID-19.
“Polis menutup semua pintu-pintu masuk termasuk jalan-jalan kecil dengan meletakkan kawat berduri dengan bantuan pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) selain Jabatan Imigresen, ATM dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) yang akan membantu mengenal pasti penduduk bukan warganegara yang ada di lokaliti ini,” katanya semasa ditemui di salah satu pos kawalan PKPD Saguking Laut, pagi tadi.
Pihak Polis katanya sedang merancang kaedah untuk mengambil tindakan terhadap pendatang asing yang ada dalam lokaliti tersebut.

Farid (tengah) bersama-sama beberapa ketua agensi berkaitan sedang merangka strategi penyelarasan penguatkuasaan PKPD.
“Kita bersama Majlis Keselamatan Negara dan Jabatan Imigresen sedang merancang bagaimana untuk mengambil tindakan lanjut bagi bukan warganegara dalam lokaliti ini dan ada antara 32 orang yang positif COVID-19 juga tidak mempunyai sebarang dokumen.
“Sebelum ini pihak polis dan Jabatan Imigresen telah jalankan banyak operasi membenteras aktiviti dadah dan pendatang asing tetapi kawasan ini masih tetap dihuni kerana kawasan ini antara yang paling murah untuk didiami,” jelasnya.
Tambahnya, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah juga akan menyelaras proses bantuan makanan kepada semua penduduk yang terlibat dengan PKPD.
“Kita telah bincang dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat, Perbadanan Labuan untuk bekerjasama dengan pihak polis dan Jabatan Kesihatan untuk merangka mekanisma bantuan makanan kepada lebih kurang 8000 penduduk di sini.
“Kita juga menerima sumbangan daripada NGO dan ahli keluarga mereka yang tinggal di luar, kita minta mereka hantar sumbangan ke tiga pos kawalan yang ada dan pihak Jabatan Kebajikan akan mengambil tindakan untuk mengagih barang-barang tersebut,” katanya.
-SH