Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahPerak

Sukan Lasak Redah Jeram dan ATV Kini di Selama

By 23 Oktober 2020Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohamad Fikri Johari (Larut Matang dan Selama)

SELAMA, 23 Okt (Malaysiaaktif) – Pengunjung khususnya rakyat negeri ini kini boleh merasai pengalaman mencuba aktiviti sukan lasak redah jeram dan menunggang kenderaan lasak pelbagai bentuk permukaan bumi atau All-Terrain Vehicle (ATV) di Selama.

Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam dan Penerangan Negeri Perak Mohamad Akmal Kamarudin, berkata aktiviti sukan lasak ini diadakan bagi membangunkan ekosistem pelancongan negeri khususnya di daerah ini bagi membantu pertumbuhan ekonomi negeri dan mempromosikan Selama kepada orang ramai.

“Buat pertama kali saya bersama pusat khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selama dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak hadir ke sini untuk program aktiviti redah jeram dan ATV kerana inilah tempat yang sesuai untuk aktiviti-aktiviti sukan lasak selain mempromosikan pelancongan di Selama.

“Potensinya cukup besar dan rata-rata penduduk di sini terdiri daripada golongan B40 dan ia dapat membantu perniagaan penduduk di sekitar kawasan ini,” katanya ketika merasmikan Pelancaran Aktiviti Sukan Lasak Redah Jeram dan ATV di Lata Rambung Sungai Siputeh, di sini semalam.

Para peserta berkumpul sebelum melakukan aktiviti redah jeram di sini.

Para peserta berkumpul sebelum melakukan aktiviti redah jeram di sini.

Sementara itu, pengunjung Ku Azman Ku Ismail berharap Bajet Belanjawan 2021 dapat memberi kelebihan kepada kawasan-kawasan kampung terutama di daerah Selama supaya dapat mempromosikan daerah tersebut kepada masyarakat luar.

“Selain sukan lasak, sukan tradisional atau sukan rakyat seperti sepak takraw juga boleh diberi perhatian kerana dapat menaikkan kembali sukan-sukan ini.

“Saya berharap pihak kerajaan negeri dapat memberi fokus akan potensi sukan-sukan tersebut kerana selain membantu merancakkan ekonomi, ia juga menaikkan nama daerah Selama,” katanya yang berkhidmat sebagai guru di daerah ini.

Turut hadir, Pengarah Komunikasi Strategik (STRATCOM) Negeri Perak Mohd Hafez Sabri dan Pegawai Penerangan Daerah Larut Matang dan Selama Ahmad Farid Abu Dzarim.

-SH

Tinggalkan komen anda