
Laporan/foto: Mohd. Mahadir Abdul Halif (Keningau)
KENINGAU, 16 Nov (Malaysiaaktif) – Membentangkan projek inovasi Vegan Nugget dengan bahasa isyarat tidak menjadi satu halangan buat empat pelajar Kolej Vokasional (KV) Keningau untuk menyertai pertandingan inovasi peringkat antarabangsa.
Terdiri daripada Jane Christine Justine, Jisa Bacxter Jonson, Chrisvee Neville Juhulis dan Cerlye Saidin, mereka menyertai Pertandingan Young Inventors Challenge, Festival for Change dan e-Carnival Research and Innovation, baru-baru ini.
Pengarah Kolej tersebut Johari@Jaibet Sabin, berkata semangat dua pelajar yang mempunyai masalah pendengaran iaitu Jane dan Jisa tekad menyertai pertandingan inovasi yang mewajibkan pembentangan secara lisan sehinggakan pihak penganjur mengubah syarat pertandingan agar individu berkeperluan khas dapat menyertainya.
“Semangat mereka memberi inspirasi kepada para pelajar pendidikan khas yang lain untuk menyertai pertandingan inovasi yang selalu dianggap hanya terhad untuk pelajar normal sahaja.
“Pasukan tersebut dibimbing oleh guru Pendidikan Khas, Kan Fook Keong dalam tiga pertandingan inovasi dalam talian dari bulan September hingga November 2020,” katanya ketika ditemui, di sini baru-baru ini.
Menurut Johari, pelajarnya itu menghasilkan bahan makanan berasaskan tumbuhan yang memiliki rasa, tekstur dan aroma seakan ayam apabila digoreng.
“Tujuannya adalah untuk menggalakkan masyarakat agar mengurangkan pengambilan daging dalam pemakanan dengan memberikan alternatif iaitu nuget sayuran hasil ciptaan mereka.
“Justifikasi projek ini untuk mengatasi masalah alam sekitar akibat penternakan haiwan yang kurang terkawal dan kurang beretika,” katanya.
Johari menjelaskan, pasukan tersebut berjaya meraih pingat gangsa dalam pertandingan antarabangsa Festival for Change anjuran Promoting Economic Pluralism yang berpangkalkan di United Kingdom serta disenarai pendekkan untuk pertandingan Young Inventors Challenge daripada 146 penyertaan dari negara-negara Asia.
“Saya bangga kerana ini membuktikan komitmen KV Keningau dalam mendidik dan memberi peluang yang luas kepada pelajar-pelajar ini untuk memperkembangkan kemahiran dan bakat mereka,” katanya.
-SH