
Laporan/foto: Mohamad Fikri Johari (Larut Matang dan Selama)/Muhammad Irfan Azman Tuah (Ipoh)
TAIPING, 15 Nov (Malaysiaaktif) – Ops Bersepadu sempena perayaan Hari Deepavali di daerah ini memberi penekanan terhadap pembudayaan norma baharu dalam masyarakat.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Ahmad Saidi Mohamad Daud, program bersama Jabatan Penerangan (JaPen) Negeri Perak dan Pejabat Penerangan Daerah Larut Matang dan Selama (LMS) menerusi Info on Wheels (IoW) Amalan Pembudayaan Norma Baharu ini bergerak bagi mendidik masyarakat dan memudahkan urusan para peniaga supaya kekal mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP).
“Kita mendidik masyarakat supaya sentiasa memakai pelitup separuh muka dengan betul, menggunakan aplikasi MySejahtera, menjaga penjarakan fizikal dan sentiasa menjaga kebersihan diri.
“Kita akan teruskan lagi program seperti ini dalam usaha untuk memastikan seluruh masyarakat diberikan pengajaran yang sempurna tentang amalan pembudayaan norma baharu,” Ahmad Saidi merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Changkat Jering berkata demikian ketika ditemuramah di Pasar Simpang, di sini semalam.
Turut hadir Pegawai Daerah LMS Mohamad Akmal Dahalan, Yang DiPertua Majlis Perbandaran Taiping Khairul Amir Mohamad Zubir serta Timbalan Ketua Polis Daerah Taiping Superintendan Razlam Ab Hamid.
-SH