
Foto: Infografik KKM
PUTRAJAYA, 30 Dis (Malaysiaaktif) – Kes baharu harian COVID-19 di Malaysia kekal empat angka iaitu 1,925 kes, menjadikan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan sebanyak 21,443 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata pertambahan kes baharu itu menjadikan jumlah keseluruhan kes di negara ini mencecah 108,615 kes.
Beliau berkata daripada jumlah kes baharu itu, terdapat 10 kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara manakala penularan COVID-19 dalam negara pula adalah 1,915 kes.
“Selangor melaporkan kes harian baharu tertinggi sebanyak 747 kes dengan 625 kes adalah daripada kluster dan saringan kontrak rapat COVID-19 yang aktif dijalankan di lapangan. Ia diikuti dengan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang merekodkan 360 kes.
“Pahang pula mencatatkan 288 kes dan peningkatan kes di negeri itu dipengaruhi oleh kluster berkaitan penjara iaitu Kluster Tembok Mempaga yang melaporkan sebanyak 282 kes,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembagan COVID-19 semalam.
Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata terdapat dua kes kematian direkodkan melibatkan warganegara.
Kes kematian pertama melibatkan seorang lelaki berumur 65 tahun dari Wilayah Persekutuan Putrajaya yang mempunyai penyakit kencing manis, darah tinggi, buah pinggang kronik, jantung dan strok.
Manakala satu lagi kes kematian melibatkan seorang wanita berumur 68 tahun dari Kelantan yang mempunyai penyakit darah tinggi, kencing manis, dan buah pinggang kronik.
Selain itu, Dr Noor Hisham berkata bilangan kes pulih hari ini pula adalah 1,123 kes, menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya kini sebanyak 86,715 kes.
— BERNAMA