
Foto: Parlimen Malaysia
PUTRAJAYA, 10 Dis (Malaysiaaktif) – Persidangan Dewan Rakyat hari ini meluluskan usul pengurangan peruntukan bagi perluasan Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) berjumlah RM45 juta daripada RM81.5 juta seperti yang diperuntukkan dalam Belanjawan 2021.
Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun mengumumkan usul itu dipersetujui dengan suara majoriti selepas dibahas enam Ahli Parlimen masing-masing tiga daripada blok pembangkang dan penyokong kerajaan.
Usul itu dicadang Timbalan Menteri Kewangan Datuk Abd Rahim Bakri sebelum giliran perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM).
Beliau mengemukakan usul pindaan terhadap peruntukan berjumlah RM164,151,656,800 kepada RM164,106,656,800 dalam Fasal 2 Rang Undang-Undang Perbekalan 2021.
“Pindaan ini berbangkit daripada pengurangan jumlah wang yang diperuntukkan bagi maksud mengurangkan sebanyak RM45 juta daripada jumlah yang diperuntukkan di bawah butiran perluasan JASA Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM),” katanya.
— BERNAMA