Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Selangor Benarkan Solat Jumaat, Fardhu Berjemaah di Tiga Daerah – JAIS

By 10 Disember 2020Tiada komen1 minit bacaan

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)

SHAH ALAM, 10 Dis (Malaysiaaktif) – Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) memberi kebenaran semua masjid dan surau di tiga daerah di negeri ini melaksanakan Solat Jumaat, Solat Fardhu berjemaah berkuat kuasa serta-merta.

Pengarah JAIS, Mohd Shahzihan Ahmad, berkata kebenaran pelaksanaan tersebut melibatkan 130 masjid, 21 surau kebenaran Jumaat dan 453 surau di Kuala Selangor, Sabak Bernam dan Hulu Selangor dengan penjarakan 1.5 meter.

“Kebenaran kehadiran jemaah Solat Jumaat dan Solat Fardhu ini adalah untuk jemaah warganegara sahaja.

“Namun, ketetapan baharu ini tidak termasuk mukim Kuala Selangor berikutan perkembangan terkini penularan Covid-19,” katanya menerusi satu kenyataan media hari ini.

Katanya, bagi program pengimarahan seperti kuliah maghrib, subuh dan dhuha serta bacaan yassin turut dibenarkan dengan syarat penceramah jemputan dari zon hijau sahaja.

“Diharap umat Islam seluruh negeri meningkatkan disiplin, kawalan kendiri, bersabar dan terus mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan JAIS, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Langkah penguatkuasaan SOP yang tegas oleh pentadbir masjid dan surau, pencegahan, kawalan kendiri, doa, zikir serta munajat yang diamalkan pasti akan membantu mempercepat ketetapan sama di seluruh negeri,” katanya.

Sebelum ini, kerajaan melanjutkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di negeri Selangor sehingga 20 Disember ini kecuali tiga daerah iaitu Kuala Selangor, Hulu Selangor dan Sabak Bernam

-NAZ

Tinggalkan komen anda