Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

Jaga Kebersihan, Amalkan Norma Baharu

By 11 Disember 2020Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Musliha Yusof (Johor Bahru)

PASIR GUDANG, 11 Dis (Malaysiaaktif) – Menurut sukarelawan Masjid Taman Rinting Azizan Omar, kerjasama yang erat antara para penduduk Taman Rinting dan pihak masjid telah menjadikan kawasan di dalam dan di luar masjid ini selesa dan bersih sebagai tempat beribadah, malah juga sebagai pusat aktiviti masyarakat.

“Masjid ini asalnya merupakan sebuah surau dan telah dinaik taraf sebagai masjid lebih kurang sepuluh tahun yang lalu berikutan ia sering menjadi tumpuan kerana kedudukannya yang strategik di taman ini,” katanya ketika ditemui di Masjid Taman Rinting, baru-baru ini.

Tambah beliau, masyarakat perlu diterapkan dengan nilai-nilai murni yang berasaskan kebersihan dalam membentuk kehidupan yang sihat kerana ia mencerminkan imej Islam yang bersih dan suci.

Azizan percaya keselesaan dalam mengerjakan ibadah itu penting.

Azizan percaya keselesaan dalam mengerjakan ibadah itu penting.

“Amalan menjaga kebersihan sangat penting dalam memastikan kita tidak mudah dijangkiti penyakit yang mudah berjangkit seperti wabak COVID-19 yang sedang melanda negara, taun dan juga denggi.

“Justeru, kesedaran kawalan kendiri yang tinggi baik di tempat-tempat awam, tempat ibadat mahupun di rumah perlu ada dalam diri ahli masyarakat pada setiap masa,”katanya lagi.

Azizan berkata, masyarakat perlu mengamalkan norma baharu melalui pendekatan 3W merangkumi kerap mencuci tangan dengan air sabun (wash), memakai pelitup muka di tempat awam atau jika bergejala (wear) dan amaran dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang lebih berkonsepkan peringatan (warn).

Seorang peniaga kuih dan kerepek yang ditemui, Jurina Ramli, 40, berkata beliau sering mengerjakan solat di masjid ini dan berasa sangat selesa dengan kebersihan di dalam dan di luarnya.

Jurina berasa selesa dengan fasiliti dan kebersihan di masjid ini.

Jurina berasa selesa dengan fasiliti dan kebersihan di masjid ini.

“Para penduduk di taman ini sentiasa mengamalkan norma baharu dan menjaga kebersihan bagi mewujudkan suasana yang selesa di mana mereka juga turut sama menata rias Masjid Taman Rinting ini.

“Pengunjung masjid ini pasti akan terpegun dengan susun atur, kebersihan tandas yang terletak di tepi masjid dan juga pelbagai kemudahan yang turut disediakan seperti ruangan menunggu, tempat menukar lampin dan sebagainya,” ujarnya.

Katanya, berikutan pandemik COVID-19 yang melanda negara, keselesaan dalam mengerjakan ibadah itu sangat penting terutama yang melibatkan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan pembudayaan norma baharu.

Masjid ini turut mendapat pergiktirafan empat bintang (4 star) dari Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) untuk tahap kebersihan tandas yang mencapai standard yang ditetapkan.

-NI-

Tinggalkan komen anda