
Foto: Infografik KKM
PUTRAJAYA, 19 Dis (Malaysiaaktif) – Kes positif COVID-19 di Malaysia terus mencatatkan angka empat digit dengan 1,683 kes baharu direkodkan dan tiada kematian.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata dengan perkembangan terbaharu itu jumlah kumulatif kes positif COVID-19 di Malaysia kini sebanyak 90,816 kes, manakala jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19, adalah 15,140 kes.
“Daripada jumlah kes baharu itu, terdapat lapan kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara manakala penularan COVID-19 dalam negara adalah sebanyak 1,675 kes,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Selangor kekal mencatatkan kes harian baharu tertinggi dengan 692 kes, diikuti Sabah (260) dan Kuala Lumpur dengan 197 kes.
“Sebanyak 313 kes yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di penjara dan depot tahanan imigresen yang membabitkan Kluster Penjara Jalan Harapan (235 kes), Kluster Tembok (55 kes), Kluster Tembok Gajah (12 kes), Kluster Bakti (8 kes), Kluster Penjara Kepayan (2 kes) dan Kluster Penjara Seberang Perai (1 kes),” katanya.
Dr Noor Hisham berkata tiada pertambahan kes kematian COVID-19 menjadikan jumlah kumulatif kes kematian kekal 432 kes.
— BERNAMA