Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Kes Kumulatif Positif COVID-19 di Malaysia Cecah 100,000

By 25 Disember 2020Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Foto: Infografik KKM

PUTRAJAYA, 25 Dis (Malaysiaaktif) – Jumlah kumulatif kes positif COVID-19 di negara kini mencecah 100,318 kes, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata kes positif harian pula merekodkan sebanyak 1,581 kes dan kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 ialah 18,773.

Dr Noor Hisham berkata kes sembuh COVID-19 ialah 1,085 menjadikan jumlah kumulatif pesakit yang pulih sepenuhnya ialah 81,099 orang.

“Daripada jumlah kes baharu berkenaan, terdapat dua kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara manakala penularan COVID-19 dalam negara pula adalah sebanyak 1,579 kes.

“Selangor kekal mencatatkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 491 kes. Daripada jumlah ini, sebanyak 375 kes adalah daripada kluster dan saringan kontrak rapat COVID-19 yang aktif dijalankan di lapangan,” katanya mengenai perkembangan situasi semasa COVID-19 semalam.

Dr Noor Hisham berkata sehingga kini, terdapat 102 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 45 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Bersempena sambutan Hari Natal, beliau mengingatkan seluruh rakyat agar sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi mengurangkan risiko jangkitan dalam kalangan ahli keluarga dan rakan dengan mengamalkan norma baharu.

Sejajar perkembangan teknologi telekomunikasi terkini, beliau menggalakkan penggunaan panggilan video sebagai gantian amalan kunjung-mengunjung bagi melindungi warga emas dan kumpulan rentan daripada dijangkiti COVID-19.

“Berikutan situasi peningkatan kes COVID-19 dalam negara yang telah mencapai jumlah kumulatif sebanyak 100,318 kes, masyarakat dinasihatkan untuk lebih berwaspada dan berhati-hati dalam mengurangkan risiko penularan jangkitan COVID-19.

“Semoga kelainan yang dialami pada sambutan perayaan kali ini menjadi sebuah memori untuk dikenang di masa hadapan,” katanya.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda