
Laporan/foto: Akammah Subramanian/Hazlina Tajuddin (Petaling)
SERDANG, 17 Dis (Malaysiaaktif) – Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen), Datuk Mohd Sukari Ab Hamid hari ini melawat Pusat Media yang beroperasi di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC), Taman Exspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS).
Beliau yang tiba sekitar pukul 1 tengah hari, meluangkan masa hampir 30 minit melawat serta memantau tugasan yang dijalankan oleh petugas di Pusat Media berkenaan.
Ketika lawatan tersebut, Mohd Sukari sempat memberi pesanan kepada petugas JaPen agar sentiasa menjaga kesihatan diri.
“Jaga diri baik-baik dan sentiasa kemaskini maklumat-maklumat,” katanya ringkas sambil melontarkan senyuman.
Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Penerangan (Kandungan Digital) Hashim Bedu, Timbalan Ketua Pengarah Penerangan (Kandungan Strategik) Zainudin Ismail dan Pengarah Jabatan Penerangan Selangor Ali Suhaili.
Terdahulu, kerajaan mengaktifkan kembali PKRC sejak 9 Disember lalu susulan peningkatan kes COVID-19 secara mendadak di kalangan warga asing.
-NAZ