Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahKuala Lumpur

Penantian 12 Tahun Ibu Tunggal Berakhir

By 23 Disember 2020Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Parameswary Lekshmnan/Hazibi Hassan (Kuala Lumpur)

KUALA LUMPUR, 23 Dis (Malaysiaaktif) – Setelah 12 tahun membuat permohonan dan berkali-kali rayuan dikemukakan, akhirnya seorang ibu tunggal tiga anak berjaya menerima surat tawaran penyewaan Perumahan Awam Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Uma Rengasamy, 47, amat bersyukur dan gembira menjadi salah seorang daripada 20 penerima tawaran penyewaan di Perumahan Awam (PA) dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

“Permohonan kali pertama saya lakukan pada tahun 1998 tapi tidak berjaya, manakala pada tahun 2012, saya memohon lagi dan membuat rayuan beberapa kali sehinggalah menerima panggilan menyatakan permohonan saya lulus dan perlu hadir hari ini untuk menerima surat tawaran setelah 12 tahun menanti,” katanya ketika menerima surat tawaran, di sini semalam.

Seorang lagi penerima tawaran, Mohd Feissal Mohd Yusoff, 28, terharu dan gembira dengan tawaran mendiami rumah di Perumahan Awam Desa Sri Rejang.

“Saya pernah duduk menyewa di Setapak dahulu tetapi terpaksa pindah ke rumah ibu mentua di Bentong, Pahang kerana tidak mampu membayar sewa yang mahal dan terpaksa ulang-alik kerja Bentong-Kuala Lumpur.

“Tawaran ini cukup besar maknanya bagi saya dan keluarga meneruskan kehidupan di ibu kota ini,” katanya.

Hampir 20 peratus penghuni PA/PPR DBKL hilang kelayakan menduduki rumah PA/PPR - Santhara.

Hampir 20 peratus penghuni PA/PPR DBKL hilang kelayakan menduduki rumah PA/PPR – Santhara.

Majlis Penyerahan Surat Tawaran Penyewaan PA/PPR DBKL ini disempurnakan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr. Santhara Kumar.

Menurut Santhara, DBKL telah menerima 30,000 permohonan rumah PA/PPR namun hanya hampir 2,000 permohonan yang telah lulus setakat ini.

“Setiap permohonan perlu melalui beberapa siri tapisan awal maka DBKL hanya boleh menempatkan pemohon mengikut jumlah kekosongan rumah PA/PPR berdasarkan kriteria kelayakan seperti mana yang telah digariskan.

“Berdasarkan bancian dan audit yang dilaksanakan oleh pihak DBKL, hampir 20 peratus penghuni PA/PPR DBKL hilang kelayakan untuk menduduki rumah berkenaan.

“Antara kriteria hilang kelayakan menduduki rumah PA/PPR adalah penghuni yang telah memiliki rumah sendiri dan berpendapatan tinggi yang mampu memiliki kereta mewah,” katanya.

Santhara turut memaklumkan, Kementerian Wilayah Persekutuan turut memperuntukkan sejumlah dana bagi kerja-kerja penyelenggaraan dan penambahbaikan kawasan perumahan PA dan PPR termasuk kerja penggantian lif-lif rosak serta lama secara berperingkat.

Turut hadir, Pengarah Eksekutif (Pembangunan Sosio Ekonomi) DBKL, Anwar Md Zain.

-SH

Tinggalkan komen anda