Skip to main content
Berita TimurTerengganu

Kerajaan Negeri Terengganu Berhasrat Agar Penggunaan Tanah Dimaksimumkan

By 29 Januari 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto : Rusmiza Anuar/Zamri Abd Razak (Kuala Terengganu

KUALA TERENGGANU, 29 Jan (Malaysiaaktif) – Terdapat kira-kira 8,310.82 hektar tanah di Negeri Terengganu belum diusahakan dan Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) yang masih belum dimaksimumkan penggunaannya.

Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata kerajaan negeri berhasrat agar penggunaan tanah melalui penglibatan syarikat swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), petani, usahawan, belia dan golongan B40 dalam sektor pertanian dapat dimaksimumkan.

“Bagi tahun 2021 ini, kita menyasarkan pembangunan 156 hektar tanaman durian di seluruh negeri, 50 hektar tanaman mangga Variety MA128 di Daerah Setiu dan Besut, serta pembangunan tanaman melon manis Terengganu dengan peningkatan pengeluaran sebanyak 10 peratus berbanding tahun 2020.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berucap ketika Majlis Pelancaran Tahun Pertanian Terengganu 2021, di sini baru-baru ini.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berucap ketika Majlis Pelancaran Tahun Pertanian Terengganu 2021, di sini baru-baru ini.

“Manakala bagi sektor perikanan pula, strategi untuk meningkatkan pengeluaran bekalan ikan terus dipergiatkan, antaranya mengenalpasti Zon Industri Akuakultur (ZIA) iaitu program pengezonan kawasan tanah dan perairan yang sesuai untuk dibangunkan dengan projek akuakultur berskala komersial,” katanya ketika Majlis Pelancaran Tahun Pertanian Negeri Terengganu 2021, di sini baru-baru ini.

Dalam pada itu, Ahmad Samsuri berkata, seluas 3,027 hektar di Sungai Como, Tasik Kenyir telah dizonkan sebagai ZIA, dan hanya 10 peratus sahaja yang digunapakai.

“Kerajaan negeri telah membina 211 unit tukun tiruan dan 11 tapak unjam di seluruh perairan Terengganu dan pada tahun ini, fokus akan diberikan kepada pembinaan dan pelabuhan tukun tiruan dan unjam.

“Bagi sektor penternakan pula, kita sudah mempunyai 88 kawasan padang ragut yang dirizabkan di seluruh negeri dengan keluasan 4,293.80 hektar.

Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar semasa Majlis Pelancaran Tahun Pertanian Terengganu 2021 yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan Komuniti dan Pembangunan Luar Bandar, Dr. Azman Ibrahim.

Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar semasa Majlis Pelancaran Tahun Pertanian Terengganu 2021 yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan Komuniti dan Pembangunan Luar Bandar, Dr. Azman Ibrahim.

“Daripada keluasan tersebut, terdapat 2,052.37 hektar yang masih belum dimajukan,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri berharap, melalui kaedah integrasi dan jalinan kerjasama dengan pengusaha berpengalaman, tanah-tanah berbaki ini mampu dibangunkan dan dimanfaatkan sepenuhnya.

“Beberapa program khusus dan projek agro juga sedang dalam perbincangan dan pertimbangan dengan pihak agensi ECERDC (Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur), serta agensi-agensi lainnya yang berada di bawah beberapa kementerian Kerajaan Persekutuan,” katanya.

-ii-

Tinggalkan komen anda