
Foto: Infografik KKM
PUTRAJAYA, 24 Jan (Malaysiaaktif) – Kes baharu COVID-19 merekodkan jumlah tertinggi iaitu 4,275 kes selepas merekodkan 4,029 kes pada 16 Jan lepas, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
Bagaimanapun, beliau berkata jumlah kes sembuh turut merekodkan angka tertinggi hari ini iaitu 4,313 kes yang melebihi angka kes baharu sekali gus menjadikan keseluruhan kes sembuh sebanyak 137,019 setakat ini.
“Dari jumlah kes baharu hari ini, 4,264 kes adalah penularan tempatan manakala 11 lagi kes import, menjadikan jumlah kumulatif kes baharu ialah 180,455 kes dengan kes aktif 42,769 kes,” menurutnya dalam kenyataan perkembangan situasi COVID-19 semalam.
Dr Noor Hisham berkata tujuh lagi kematian direkodkan menjadikan jumlah korban akibat virus berbahaya itu setakat ini ialah 667 kes.
Dr Noor Hisham berkata Selangor melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 1,421 diikuti Kuala Lumpur (548 kes) dan Sabah (498 kes).
Bagi kes baharu setiap negeri selain Selangor, Kuala Lumpur dan Sabah, Johor merekodkan 425 kes, Melaka (278 kes), Perak (208 kes), Sarawak (193 kes), Pulau Pinang (162 kes), Terengganu (131 kes), Negeri Sembilan (108 kes), Kedah (105 kes), Kelantan (78 kes), Pahang (75 kes), Putrajaya (35 kes), Perlis (7) dan Labuan (3 kes).
— BERNAMA