Skip to main content
Berita UtaraPulau Pinang

Masyarakat India Sambut Pesta Ponggal dalam Suasana Norma Baharu

By 15 Januari 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: R. Vikkneswaran/S. Shanmuganathan (Daerah Timur Laut)

GEORGETOWN, 15 Jan (Malaysiaaktif) – Masyarakat India di Pulau Pinang menyambut Pesta Ponggal atau Pesta Menuai pada hari pertama semalam dalam keadaan suasana norma baharu kerana mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang ditetapkan oleh kerajaan.

Menurut seorang penganut Hindu, G. Jeevaraja, 45, pesta pada tahun ini disambut dengan kelainan berbanding tahun sebelumnya dengan tiada aktiviti kunjung-mengunjung.

Ahli keluarga G.Jeevaraja melakukan upacara memasak beras bersama susu lembu sempena Pesta Ponggal.

Ahli keluarga G.Jeevaraja melakukan upacara memasak beras bersama susu lembu sempena Pesta Ponggal.

“Ia boleh disambut bersama-sama ahli keluarga yang dapat merapatkan semangat persaudaraan pada hari pertama dalam bulan Thai mengikut kalender kaum India,” katanya kepada Pegawai Penerangan Daerah Timur Laut(DTL), Lim Miow Juang yang membuat tinjauan sambutan perayaan Ponggal di rumahnya.

Bercerita mengenai sambutan Ponggal, G. Jeevaraja memberitahu ia adalah simbol terima kasih kepada Dewa Matahari selepas pesta menuai tanaman.

Susu mendidih sambil melimpah menandakan kebaikan untuk seisi keluarga semasa Perayaan Ponggal.

Susu mendidih sambil melimpah menandakan kebaikan untuk seisi keluarga semasa Perayaan Ponggal.

“Rumah dihiasi dengan daun mangga dan lantai rumah dihiasi dengan corak atau hiasan ‘kolam’ yang menggunakan tepung beras atau beras berwarna dan mengikat batang tebu di luar rumah.

“Pada hari pertama lazimnya akan menyaksikan susu yang dimasak di dalam belanga melimpah yang bersimbolik kepada kebaikan untuk seluruh keluarga,” ujarnya.

G.Jeevaraja bersama ahli keluarganya menyambut Ponggal tanpa aktiviti kunjung-mengunjung.

G.Jeevaraja bersama ahli keluarganya menyambut Ponggal tanpa aktiviti kunjung-mengunjung.

Sementara itu, G. Jeevaraja turut berharap masyarakat India bersama-sama dalam perayaan secara norma baharu terus membendung penularan wabak COVID – 19 di negara ini.

“Kita perlu bersyukur kepada tuhan dan kerajaan yang prihatin kepada masyarakat dan dapat meraikan pesta ini walaupun negara menghadapi COVID-19,” katanya lagi.

-ii-

Tinggalkan komen anda