
Laporan/foto: Shahqrul Azim Shaari/Nurulaini Mohd Kasran (Kota Tinggi)
KOTA TINGGI, 6 Jan (Malaysiaaktif) – Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, meluangkan masa melawat mangsa banjir di dua buah Pusat Pemindahan Sementara (PPS), Kolej Vokasional Kota Tinggi dan Sekolah Kebangsaan Laksamana.
Kunjungan Perdana Menteri itu sedikit sebanyak meringankan beban yang ditanggung mangsa.
Menurut mangsa banjir Rofeah Nasir, 80, dari Taman Kota Jaya, beliau berbesar hati dengan keprihatinan Perdana Menteri yang sanggup turun padang bagi meninjau keadaan mangsa banjir di Kota Tinggi.
“Saya memang gembira dengan kehadiran beliau bagi meninjau keadaan kami di sini dan ini menunjukkan keprihatinan beliau terhadap rakyat yang berada dalam kesusahan,”katanya.
Sementara itu, Wan Ariffin Mohd, 69, berkata beliau bersama tujuh orang ahli keluarganya telah berpindah ke PPS ini sejak tiga hari yang lalu kerana rumah telah dinaiki air.
“Rumah saya seringkali dinaiki air jika hujan berterusan dan kami sekeluarga memang sudah bersiap sedia untuk berpindah dan barang-barang akan disimpan di kawasan yang tinggi.
“Terima kasih kepada semua agensi kerajaan yang membantu keluarga saya mendapat tempat perlindungan yang selesa untuk sementara ini,”ujarnya.
Hujan lebat berterusan sejak 1 Januari lalu, ditambah dengan fenomena air pasang telah menyebabkan beberapa kawasan di daerah ini dinaiki air dengan beberapa buah taman dan kampung teruk terjejas sehingga memaksa para penduduk dipindahkan ke PPS berdekatan kediaman mereka.
Setakat pukul 3.00 petang semalam, hanya 19 buah PPS masih dibuka dengan 2372 mangsa daripada 590 keluarga masih belum dibenarkan pulang.