Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Sesi Latihan Terjunan BASE Dapat Kebenaran – PPj

By 2 Januari 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Foto: Gambar fail

PUTRAJAYA, 2 Jan (Malaysiaaktif) – Sesi latihan terjunan BASE yang diadakan semalam telah mendapat kebenaran penggunaan ruang daripada pengurus bangunan terlibat serta Perbadanan Putrajaya (PPj) selaku penganjur dan pihak berkuasa tempatan.

Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat PPj Tengku Aina Tengku Ismail Shah, berkata selain itu, pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) juga dimaklumkan serta berada di lokasi latihan sebagai pasukan teknikal dan penyelamat.

Beliau berkata latihan semalam melibatkan lapan penerjun Kelab BASE ABABIL yang telah mengorbankan Azuan Taharudin, 49, yang merupakan penerjun terakhir daripada lima penerjun pada ketika itu.

“Kejadian berlaku sekitar 5.35 petang dan semua aspek keselamatan termasuk faktor cuaca telah diambil kira. Penanda arah angin telah diletakkan di atas bangunan dan kawasan pendaratan. Hasil penelitian kepada arah dan kekuatan angin menunjukkan keadaan adalah selamat untuk melakukan terjunan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tengku Aina berkata semasa terjunan, payung Allahyarham Azuan terbuka dan secara tiba-tiba kelihatan hilang kawalan lalu menyebabkan beliau terlanggar cermin bangunan beberapa kali sebelum terjatuh di tempat kejadian.

“Azuan mempunyai pengalaman lebih 18 tahun dalam sukan payung terjun dan 12 tahun dalam sukan BASE serta telah melakukan 500 kali terjunan dari kapal dan lebih 300 kali terjunan BASE. Beliau banyak terlibat dalam acara terjunan di Putrajaya seperti Terjunan Kibaran Jalur Gemilang ke-62, Terjunan Jubli Perak 25 tahun Putrajaya, Putrajaya International Hot Air Balloon dan Putrajaya BASE Jump 2020,” katanya.

PPj mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham.

Tengku Aina berkata latihan terjunan BASE yang dijadualkan pada 1 hingga 3 Januari merupakan persiapan pasukan dalam acara Putrajaya BASE Jump 2021 (PBJ2021) sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan yang bakal diadakan pada 1 Februari. Ia merupakan acara tahunan PPj yang julung kali diadakan pada tahun lalu.

Sukan terjunan BASE (terjunan dari objek tidak bergerak) adalah sukan ekstrem dengan lompatan pada ketinggian tertentu.

— BERNAMA

 

 

 

 

 

 

 

 

Tinggalkan komen anda