Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

2,712 Kes Baharu, Rekod Tertinggi 25 Kematian

By 19 Februari 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Foto: Infografik KKM

PUTRAJAYA, 19 Feb (Malaysiaaktif) – Malaysia merekodkan 25 kematian harian akibat COVID-19 dalam tempoh 24 jam lalu, angka tertinggi sejak penularan jangkitan itu dikesan di negara ini awal Januari tahun lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata pertambahan kes kematian itu menjadi jumlah kumulatif kes kini sebanyak 1,030 kes.

Dalam pada itu, katanya, kes baharu mencatatkan sedikit penurunan iaitu 2,712 kes berbanding 2,998 kes semalam, menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di negara ini sebanyak 274,875 kes.

Menurutnya, daripada jumlah kes baharu itu, empat adalah kes import  manakala 2,708 kes adalah penularan tempatan. Kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 pula merekodkan sebanyak 38,763,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan semasa wabak itu, semalam.

Dr Noor Hisham memaklumkan sehingga pukul 12 tengah hari tadi, sebanyak 5,320 kes sembuh dilaporkan, menjadikan jumlah keseluruhan kes pulih sebanyak 235,082 kes atau 85.5 peratus.

Memperinci lebih lanjut, katanya, terdapat 227 kes dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 103 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Dr Noor Hisham berkata Selangor melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 1,013 kes diikuti Johor (426 kes) dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebanyak 212 kes.

Sarawak mencatat 200 kes, Perak (198 kes), Kedah (182 kes), Pulau Pinang (116 kes), Sabah (114 kes),  Negeri Sembilan (81 kes), Pahang (52 kes), Kelantan (43 kes), Melaka (38 kes), Terengganu (19 kes), Putrajaya (7 kes), Perlis (6 kes) dan Labuan (5 kes).

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda