
Foto: Infografik KKM
PUTRAJAYA, 11 Feb (Malaysiaaktif) – Negara merekodkan jumlah kumulatif keseluruhan kes sebanyak 251,604 kes, dengan pertambahan 3,288 kes baharu dalam tempoh 24 jam lepas.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi Twitter rasmi beliau berkata 3,283 kes adalah penularan tempatan, melibatkan 1,889 warga tempatan dan 1,394 bukan warga negara, manakala lima kes lagi merupakan kes import, melibatkan tiga warga tempatan dan dua warga asing.
“Kes aktif dengan kebolehjangkitan kini berjumlah 52,186 kes manakala dalam tempoh sama 14 kes kematian melibatkan warga tempatan dilaporkan, menjadikan jumlah kes kematian COVID-19 di negara ini direkodkan sebanyak 923 kes,” katanya.
Beliau berkata terdapat 1,929 kes sembuh hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh daripada COVID-19 di Malaysia adalah 198,495 kes.
Dr Noor Hisham berkata 285 kes dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 131 kes memerlukan bantuan pernafasan.
Mengenai kes kematian baharu, Dr Noor Hisham dalam kenyataan berkata Selangor mencatatkan lima kes, Sabah (4), Johor (2) dan masing-masing satu kes di Kedah, Kuala Lumpur dan Putrajaya, melibatkan mereka yang berumur antara 36 dan 94 tahun.
Sementara itu, beliau berkata 63 kes dilaporkan berkait dengan kluster di lokap, depot tahanan imigresen dan penjara, membabitkan Kluster Tembok Sungai Udang dengan 46 kes, Tembok Pengkalan Chepa (7), Tembok Renggam (5), Tembok Bukit Besi (2) dan masing-masing satu kes bagi Tembok Taiping, Matambai dan Penjara Kepayan.
— BERNAMA