Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Indeks Harga Pengguna Menurun

By 24 Februari 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Syed Hisham Shah (Putrajaya)

PUTRAJAYA, 24 Feb (Malaysiaaktif) – Indeks Harga Pengguna (IHP) menurun 0.2 peratus pada bulan Januari 2021 kepada 122.1 berbanding 122.4 pada bulan yang sama tahun sebelumnya.

Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin, berkata penurunan IHP keseluruhan ini adalah disebabkan oleh penurunan indeks pengangkutan (-5.1%); perumahan, air, elektrik, gas & bahan api lain (-0.7%); pakaian & kasut (-0.4%) dan restoran & hotel (- 0.1%) yang menyumbang 44.5 peratus kepada keseluruhan wajaran.

“Daripada 552 item yang diliputi di dalam IHP, 340 item menunjukkan peningkatan pada Januari 2021 berbanding Januari 2020, sebaliknya, 138 item mencatatkan penurunan manakala 74 item tidak berubah.

“Berdasarkan prestasi 552 item mengikut kategori barangan dan perkhidmatan, barang tidak tahan lama (296 item) adalah kategori paling banyak mengalami kenaikan harga iaitu 208 item, 71 item menurun dan 17 item tidak berubah berbanding kategori perkhidmatan, barang semi tahan lama dan barang tahan lama,” katanya menerusi satu kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Uzir menjelaskan IHP tanpa bahan api meningkat 0.5 peratus pada Januari 2021 kepada 113.6 berbanding 112.8 pada bulan yang sama tahun sebelumnya.

“IHP tanpa bahan api adalah meliputi semua barang dan perkhidmatan kecuali petrol tanpa plumbum RON95, petrol tanpa plumbum RON97 dan diesel, purata harga petrol tanpa plumbum RON95 menunjukkan penurunan pada Januari 2021 iaitu RM1.87 per liter berbanding RM2.08 pada Januari 2020.

“Di samping itu, purata harga petrol tanpa plumbum RON97 menurun kepada RM2.17 per liter berbanding RM2.58 manakala purata harga diesel menurun kepada RM2.04 per liter berbanding RM2.18 pada bulan yang sama tahun sebelumnya,” katanya.

Dalam pada itu, Uzir memaklumkan Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 (Banci Malaysia 2020) fasa kedua melibatkan temuramah secara bersemuka akan disusun semula.

“Orang ramai yang masih belum membuat pengisian banci boleh mengambil peluang untuk mengisi maklumat banci secara dalam talian (e-Census) yang akan dibuka semula,” katanya.

Tinggalkan komen anda