
Laporan/foto: Joanes Robert Johnny (Kota Kinabalu)
KOTA KINABALU, 18 Feb (Malaysiaaktif) – Kerajaan negeri menitik beratkan pendidikan anak-anak keluarga kurang berkemampuan di kawasan luar bandar agar tidak tercicir dalam menimba ilmu.
Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Jahid Jahim, berkata kerajaan negeri menerusi Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah mengambil berat tentang pendidikan dan kebajikan anak-anak Sabah terutama golongan kurang berkemampuan bagi memastikan mereka mendapat pendidikan sempurna.
“Setiap anak-anak berhak untuk mendapat pendidikan, justeru, kita telah merancang pelbagai cara untuk meningkatkan taraf hidup rakyat luar bandar yang memerlukan pembelaan,” katanya pada majlis penyerahan dua buah van kepada Mini Estet Sejahtera (MESEJ) Kg Sapang, Kunak dan MESEJ Kg Balat, Kinabatangan di perkarangan bangunan KPLB Sabah, di sini semalam.
Jahid yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli berkata menyedari betapa pentingnya pendidikan sebagai asas kepada pemangkin pembangunan modal insan, maka kerajaan tampil membantu golongan sasar tersebut.
Menurut Jahid, van bernilai RM191,000 sebuah itu merupakan sumbangan kerajaan negeri melalui KPLB Sabah dengan kerjasama Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (SLDB) bagi memberi kemudahan kepada lebih kurang 70 orang anak penduduk yang tinggal di MESEJ Balat dan MESEJ Sapang.
“Tujuannya adalah untuk memudahkan anak-anak keluarga golongan sasar agar tidak tercicir menimba ilmu disebabkan masalah pengangkutan atau bebanan kewangan bagi membayar tambang bas ke sekolah.
“Kita tidak mahu melihat anak-anak kita tidak dapat meneruskan persekolahan hanya disebabkan tidak mampu membayar tambang bas sekolah atau tiada kemudahan kenderaan.
“Kita akan pastikan supaya visi dan misi membasmi kemiskinan ini akan terus berjalan dan terus tercapai,” katanya.
Selain itu, beliau turut menggesa agar liputan internet di kawasan luar bandar dapat diperluaskan dengan segera agar rakyat luar bandar dapat menikmati peluang sama seperti kawasan-kawasan yang menerima liputan jalur lebar yang lebih baik.
Simbolik penyerahan replika kunci van telah diterima Pegawai Daerah Kinabatangan Majaran Osman dan Pegawai Daerah Kunak Abdul Manap Abd Ruhim.
-SH