Laporan/foto: Mohd Azwan Mohamad/Johnny Joklis (Kota Kinabalu)
KOTA KINABALU, 18 Feb (Malaysiaaktif) – Jabatan Penerangan (JaPen) Sabah memperkasa kaedah penyaluran maklumat berkaitan COVID-19 kepada rakyat melalui hiburan.
Pengarahnya, Norzawiyah Bulka optimis kaedah tersebut dapat dilaksanakan menerusi peranan yang dimainkan oleh semua Artis Budaya Unit Pentarama untuk mengingatkan masyarakat mengenai pembudayaan norma baharu serta pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) dalam kehidupan.
“Semua artis budaya dalam Unit Pentarama JaPen perlulah lebih kreatif dalam setiap persembahan supaya mesej yang mereka bawa bukan sahaja sampai tetapi difahami oleh masyarakat.
“Dalam mendepani pandemik COVID-19 ini, kita menggalakkan masyarakat agar sentiasa mematuhi SOP dan membudayakan norma baharu dalam kehidupan seharian sebagai langkah memtuskan rantaian COVID-19,” ujar beliau selepas mengadakan Lawatan Kerja Penambahbaikan Studio Pentarama JaPen Sabah di Inanam, semalam.
Mengenai aktiviti Pentarama, Norzawiyah berkata beberapa program telah dirancang dan dipersembahkan secara maya melalui facebook JaPen Sabah.
Antara program tersebut ialah Program Akustika Pentarama yang disasarkan sebanyak lima kali setahun dan program pertama telah berlangsung pada 12 Februari lalu sempena Sambutan Tahun Baharu Cina.
Selain itu, dua lagi program baharu yang dirangka dalam membantu menyampaikan maklumat kepada masyarakat dalam pelbagai bentuk hiburan seperti nyanyian, tarian, lawak dan pengacaraan iaitu program Pentarama Fit Dance dan The Singing Community.
Hadir sama Ketua Penolong Pengarah Perkhidmatan Komunikasi dan Pembangunan Masyarakat Azman Sipan dan Penolong Pengarah Perkhidmatan Komunikasi dan Pembangunan Masyarakat Mohd Mujahid Halpi.
-SH