
Foto: Infografik KKM
PUTRAJAYA, 3 Feb (Malaysiaaktif) – Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata kes baharu COVID-19 mencatatkan penurunan kepada 3,455 kes daripada 4,214 kes kelmarin.
Beliau berkata daripada jumlah kes baharu itu, lima merupakan kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara manakala penularan COVID-19 dalam negara pula adalah sebanyak 3,450 kes.
Selangor terus merekodkan jumlah kes baharu harian tertinggi iaitu 1,145 diikuti Johor (708 kes) dan Kuala Lumpur (619), menurutnya dalam kenyataan mengenai perkembangan COVID-19.
Jumlah keseluruhan kes positif COVID-19 pula meningkat kepada 222,628 kes, manakala jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah sebanyak 47,847.
Sebanyak 21 kes kematian COVID-19 dilaporkan, menjadikan kes kematian tertinggi direkodkan bagi tempoh 24 jam setakat ini.
Jumlah kumulatif kes kematian melibatkan COVID-19 kini 791 kes, dengan kes yang ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) pula mencecah 327 dengan 145 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.
Dr Noor Hisham berkata daripada 21 kes kematian, 12 daripadanya dicatatkan di Selangor, empat kes di Sabah, masing-masing dua kes di Johor dan Kuala Lumpur dan satu kes di Kedah.
Menurutnya 3,661 kes sembuh dilaporkan, menjadikan jumlah keseluruhan pulih kini 173,990 kes.
— BERNAMA