
Laporan/foto: Aneta Ahmad/Mahadi Mustafa (Dungun)
DUNGUN,16 Feb (Malaysiaaktif)– Waktu operasi kedai makan yang dibenarkan beroperasi dari pukul 6 pagi sehingga 10 malam melegakan pekerja Orang Kelainan Upaya (OKU) yang bekerja semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0.
Muhammad Suffian Mohd Ariffin, 20, OKU yang mengalami masalah pendengaran memaklumkan waktu operasi kedai yang telah dipanjangkan memberi rezeki kepadanya yang bekerja sebagai pembantu kedai di sebuah kedai makan, di sini.
Beliau yang telah bekerja selama enam bulan di kedai tersebut berterima kasih kepada kerajaan kerana tempoh operasi yang diberikan memberi peluang kepadanya untuk bekerja dan meringankan perbelanjaan harian.
Katanya, ketika kedai diberikan tempoh sehingga pukul 8 malam sahaja, pelanggan biasa kurang datang pada waktu petang dan kebiasaannya akan datang membuat pesanan ketika pukul 8 malam untuk makan malam.
Berkongsi rasa yang sama, Syahir Ruzain Che Sukri, 20, juga daripada golongan OKU berharap agar wabak COVID-19 akan berlalu dan mengharapkan semua pihak memberi peluang yang sama rata kepada golongan OKU untuk bekerja.

Syahir Ruzain Che Sukri, 20, pembantu kedai makan, turut mengalami masalah pendengaran dan pertuturan.
“Walaupun bekerja dengan golongan OKU, namun sikap saling hormat menghormati antara kami amat tebal dan saya turut berpeluang belajar bahasa isyarat yang asas,” ujar Roni Rosalina Mursidi, 26 yang merupakan rakan sekerja.
Manakala menurut pemilik kedai makan,Tuan Azlah Tuan Azam, 59, yang ditemui berkata selain memberi peluang kepada golongan istimewa ini bekerja beliau turut memberi latihan agar mereka diberi peluang untuk bekerja sambil belajar.
“Saya dapati walaupun Suffian dan Syahir tidak boleh bercakap, namun mereka boleh berkomunikasi menggunakan bahasa isyarat dan menulis pesanan dengan cepat.
“Mereka sebenarnya rajin dan patuh apabila diberikan tugasan dan cara kerja mereka lebih pantas,” katanya ketika ditemui di kedainya di Taman Himiran, di sini semalam.
Tambah Tuan Azlah, musim PKP sebenarnya ujian dan dugaan juga kepada peniaga, namun sedaya upaya cuba membantu golongan OKU serta berkongsi rezeki bersama mereka.
-ii-