Laporan/foto: Zurina Saad (Yan)
YAN, 16 Feb (Malaysiaaktif) – 10 unit komputer riba diserahkan kepada pelajar-pelajar dari golongan B40 di sekitar Dewan undangan Negeri (DUN) Guar Chempedak bagi membantu memudahkan sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) bagi mereka yang kurang berkemampuan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guar Chempedak Datuk Dr Ku Abdul Rahman Ku Ismail yang juga merupakan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah, berkata kerajaan negeri amat memahami situasi ini dan cuba membantu seberapa mampu.
“Saya amat faham dengan permasalahan yang dihadapi oleh pelajar-pelajar yang mengikuti sesi PdPR secara dalam talian yang terpaksa berkongsi alat peranti elektronik seperti komputer riba dan telefon pintar dengan waris dan juga ahli keluarga yang lain.
“Saya berkesempatan mengunjungi dan mengenal pasti sendiri keluarga daripada golongan B40 yang menghadapi masalah tersebut ekoran dari pandemik COVID-19 dan rata-rata mereka terdiri daripada ibu tunggal, golongan hilang punca pendapatan dan yang mempunyai anak bersekolah melebihi daripada dua orang,” katanya ketika menyerahkan sumbangan di Masjid Jamek Badlishah, di sini kelmarin.
Menurut Ku Abdul Rahman, kebanyakkan keluarga ini tidak mampu untuk membeli komputer riba mahupun telefon pintar untuk kemudahan anak-anak yang harganya mencecah ribuan ringgit.
“Saya berharap anak-anak ini dapat memanfaatkan sumbangan yang diberikan ini sebaik-baiknya dan belajar bersungguh-sungguh demi masa depan yang lebih terjamin,” ujarnya.
Salah seorang waris yang ditemui Zamri Abu Hashim, 49, berkata beliau merasa syukur dan berterima kasih kepada ADUN Guar Chempedak atas sumbangan yang diberikan.
“Sumbangan ini amat bermakna bagi saya yang kehilangan sumber pendapatan akibat penyakit kencing manis,” ujarnya yang mempunyai tiga orang anak yang masih bersekolah.
-SH