Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Pemulihan Ekonomi Malaysia di Landasan Tepat dengan Program Imunisasi COVID-19

By 24 Februari 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Foto: Gambar fail

PUTRAJAYA, 24 Feb (Malaysiaaktif) – Rancangan pemulihan ekonomi Malaysia berada di landasan yang tepat dengan program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang bermula 24 Februari, 2021, kata Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz.

Menurutnya, pemulihan ekonomi sudah tentunya akan menyusul bersama dengan pemulihan kesihatan awam.

Tengku Zafrul berkata, banyak sektor ekonomi yang menanti pembukaan sempadan bukan sahaja dalam negara malah ke luar negara, seperti sektor pelancongan dan peruncitan.

“Bagi mereka daripada sektor pelancongan, manfaatkanlah peruntukan Pembiayaan Sektor Pelancongan PENJANA sebanyak RM1 bilion bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan PKS mikro yang masih terkesan dengan COVID-19,” katanya semasa membentangkan laporan Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (LAKSANA) ke-42, hari ini.

Beliau berkata Bank Dunia telah mengumumkan unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia antara 5.6 – 6.7 peratus bagi 2021 susulan pelancaran program vaksinasi COVID-19 secara global dan ini sejajar dengan unjuran pertumbuhan ekonomi dunia pada kadar empat peratus.

“Minggu lepas menyaksikan pelbagai detik bersejarah bagi negara kita. Saat yang paling ditunggu-tunggu sudah pastinya ketibaan kumpulan pertama bekalan vaksin COVID-19 ke tanah air.

“Ketibaan ini menandakan bermulanya Fasa 1 Program Imunisasi Covid 19 Kebangsaan (PICK) di mana 500,000 petugas barisan hadapan akan divaksinasikan menjelang April tahun ini,” kata Tengku Zafrul.

Kerajaan juga menyasarkan 80 peratus atau 27 juta penduduk Malaysia akan divaksinasikan menjelang suku pertama 2022 bagi mencapai imuniti kelompok, katanya.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda