Skip to main content
Berita TimurTerengganu

Program Ziarah Cakna Kuala Nerus Tanda Prihatin Pemimpin

By 5 Februari 2021Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Ali Imran Johari (Kuala Nerus)

KUALA NERUS, 5 Feb (Malaysiaaktif) – Lanjutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 baru-baru ini menyaksikan program ‘Ziarah Cakna’ di Kuala Nerus diteruskan dalam usaha membantu penduduk yang kurang berkemampuan ketika pandemik melanda dunia kini.

Seramai 20 isi rumah di Kampung Duyong yang terpilih menerima bantuan rata-ratanya meluahkan rasa syukur dan gembira ketika ditemui, semalam.

Setiausaha Politik kepada Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Mohd Kamal Nazmi Kamaruddin, berkata program yang diwujudkan oleh Parlimen Kuala Nerus ini bertujuan mengenal pasti golongan miskin tegar untuk dibantu dengan kadar segera.

Setiausaha Politik Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Mohd Kamal Nazmi Kamaruddin (kiri) ketika menghantar bantuan kepada penerima.

Setiausaha Politik Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Mohd Kamal Nazmi Kamaruddin (kiri) ketika menghantar bantuan kepada penerima.

“Program seumpama ini perlu bagi membantu golongan miskin tegar ataupun isi rumah yang memerlukan bantuan segera untuk meneruskan kehidupan seharian mereka,” katanya yang ditemui sempena program tersebut di kampung tersebut, di sini.

Tambah Mohd Kamal, bantuan yang diberikan berupa makanan asas seperti beras, gula, minyak, sardin, biskut dan sedikit sumbangan wang tunai diharapkan dapat meringankan beban keluarga yang memerlukan.

“Kita juga sedia maklum bahawa permohonan untuk mendapatkan bantuan daripada pelbagai agensi-agensi kerajaan yang berkaitan memerlukan masa untuk diluluskan.

“Sehubungan dengan itu, dengan adanya bantuan seperti ini, kita harap dapat meringankan sedikit bebanan yang ditanggung oleh mereka,” katanya.

Penerima bantuan, Asmadi Ismail, 49, berkata beliau berasa terharu kerana terpilih menerima bantuan berikutan pendapatan beliau terjejas tatkala COVID-19 melanda.

“Hanya rasa syukur yang tidak terhingga saya ucapkan apabila terpilih menerima bantuan ini.

“Pada saya, kerajaan ambil cakna kerana turun ke lapangan memberi sumbangan dengan segera kepada keluarga kami,” katanya dengan nada gembira ketika ditemu bual.

Asmadi Ismail (dua dari kiri) ketika menerima bantuan dari Parlimen Kuala Nerus.

Asmadi Ismail (dua dari kiri) ketika menerima bantuan dari Parlimen Kuala Nerus.

Bagi Gayah Ismail, 61, program berkenaan merupakan medium yang sangat bagus bagi memastikan masyarakat setempat dapat berhubung secara terus dengan pemimpin setempat untuk menyampaikan masalah yang dihadapi.

“Ketika ini, saya mengalami masalah kesihatan yang teruk sekaligus menjadikan kadar penglihatan saya semakin kabur dan menyebabkan saya tidak dapat mencari pekerjaan bagi menyara kehidupan sekeluarga.

Gayah Ismail, antara penerima bantuan Ziarah Cakna Kuala Nerus.

Gayah Ismail, antara penerima bantuan Ziarah Cakna Kuala Nerus.

“Meskipun keluarga kami mendapat bantuan daripada pelbagai pihak yang berkaitan, ada kalanya tidak mencukupi sehingga akhir bulan, namun dengan adanya bantuan sekali beri seperti ini sangat membantu kami sekeluarga,” katanya.

Menurut Gayah lagi, bantuan dan keprihatinan pemimpin setempat yang membantu sambil mengambil maklum keadaan beliau yang kini mempunyai masalah penglihatan dirasakan satu penghormatan besar kepada dirinya dan keluarga dan mengharapkan dapat diteruskan pada masa akan datang.

Dalam pada itu, Mohd Kamal turut memaklumkan Ahli Parlimen Kuala Nerus Datuk Dr. Khairuddin Aman Razali, turut menyediakan bantuan berupa beras dan makanan asas yang lain yang boleh didapati di setiap pusat Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Bagi isi rumah di bawah kategori layak menerima bantuan boleh datang ke pusat DUN masing-masing di bawah Parlimen Kuala Nerus untuk mendapatkan bantuan berkenaan.

“Jika masih ada isi rumah yang layak tetapi tidak menerima bantuan berkenaan boleh berhubung dengan pimpinan setempat untuk dibantu segera berkaitan bantuan berkenaan,” katanya.

Tambah beliau, program ziarah cakna ini akan dibuat secara berterusan supaya dapat memastikan tiada keluarga yang terpinggir daripada menerima bantuan daripada kerajaan persekutuan dan juga negeri.

Tinggalkan komen anda