Foto: Infografik KKM
PUTRAJAYA, 5 Feb (Malaysiaaktif) – Kes baharu COVID-19 di Malaysia merekodkan sebanyak 4,571 kes, menjadikan jumlah keseluruhan kes positif pandemik itu kini mencecah 231,483.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata kes sembuh harian pula merekodkan 4,092, manakala jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan setakat ini ialah 48,771.
“Daripada jumlah kes baharu itu, hanya tiga merupakan kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara manakala penularan COVID-19 dalam negara pula adalah 4,568 kes,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan COVID-19 semalam.
Beliau berkata Selangor kekal mencatat jumlah kes baharu harian tertinggi sebanyak 2,056, diikuti Johor (664 kes) dan Kuala Lumpur (481).
Selain itu, Sarawak (270 kes), Melaka (238), Sabah (175), Perak (163), Pulau Pinang (157), Negeri Sembilan (100), Pahang (78), Terengganu (69), Kedah (51), Kelantan (48), Putrajaya (20) dan Labuan dengan satu kes.
Dr Noor Hisham berkata 308 kes ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 135 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.
Beliau berkata 17 kematian dilaporkan menjadikan jumlah kumulatif kes kematian adalah 826.
Kes kematian itu terdiri daripada 13 lelaki (termasuk bayi empat bulan) dan dua wanita warganegara selain dua lelaki bukan warganegara.
— BERNAMA