Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

Sektor Pertanian Berasaskan Lada Mula Mendapat Sambutan

By 9 Februari 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Rafezan Shawal/Azmie Abdul Razak (Kulai)

KULAI, 9 Feb (Malaysiaaktif) – Pertanian berasaskan lada mula mendapat sambutan dan permintaan yang sangat menggalakkan di peringkat tempatan dan antarabangsa.

Menurut Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, ketika ini pengeluaran lada negara diterajui oleh negeri Sarawak, dan tidak mustahil tanaman ini boleh diperluaskan dan dipertingkatkan lagi jumlah pengeluarannya di Johor serta negeri-negeri lain.

“Saya telah mengarahkan agar Lembaga Lada Malaysia (MBP) supaya meletakkan sasaran untuk mengembalikan semula kegemilangan negeri ini yang dahulunya terkenal sebagai pusat penanaman lada terbesar di Malaysia.

“Saya berharap perusahaan lada ini akan dapat diperluaskan ke daerah-daerah lain di negeri ini bagi  menampung permintaan yang tinggi pada masa akan datang yang secara tidak langsung dapat menjadikan Johor sebagai pengeluar lada terbesar di Malaysia,” katanya yang ditemui selepas melawat Ladang Projek Rintis Lada Johor di Felda Inas Utara Kulai, di sini, baru-baru ini.

Khairuddin turut memaklumkan bahawa kadar harga semasa lada kini adalah di antara RM10 sekilogram bagi lada hitam dan RM17 sekilogram bagi lada putih.

Seorang penerima Skim Bantuan Tanaman Lada Baharu, Mariyamah Kasan, berasa bersyukur dengan bantuan yang diberikan oleh kerajaan kepadanya.

“Bantuan yang disalurkan oleh kerajaan ini bukan sahaja membantu saya dan perserta-peserta lain dalam mengusahakan tanaman tetapi juga dapat meningkatkan kuantiti tanaman lada di daerah Kulai khususnya negeri Johor,” ujarnya.

Pada majlis ini, turut diadakan penyampaian sumbangan kepada 23 peserta yang terlibat dalam aktiviti penanaman lada yang melibatkan keluasan tanah sebanyak 2.3 hektar.

Khairuddin ketika ditanya mengenai masa depan industri sawit yang bersaing dengan kacang soya, berkata, “Tumbuhan sawit dan soya mempunyai keperluan yang berbeza di mana sawit bukan sahaja digunakan dalam sektor makanan tetapi juga untuk sektor industri, farmasi dan makanan binatang.”

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor merangkap ADUN Bukit Permai Tosrin Jarvanthi.

-NI-

Tinggalkan komen anda