Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Ancaman Keselamatan, Kehidupan Ekonomi dan Ketenteraman Awam Punca Kuasa Perisytiharan Darurat

By 9 Februari 2021Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Syed Hisham Shah (Putrajaya)

PUTRAJAYA, 9 Feb (Malaysiaaktif) – Pengisytiharaan darurat akan berlaku apabila pentadbiran biasa tidak dapat dijalankan apabila terdapatnya ancaman kepada keselamatan negara, kehidupan ekonomi mahupun aspek ketenteraman awam.

Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi Universiti Teknologi MARA Dr. Noor Nirwandy Mat Nordin, menjelaskan apabila berlakunya ancaman sebegini maka Yang di-Pertuan Agong melalui Perlembagaan Persekutuan bawah Perkara 150 mempunyai hak untuk mengisytiharkan darurat.

“Darurat adalah satu bentuk kuasa yang diberikan kepada Yang di-Pertuan Agong melalui Peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang perlu difahami oleh masyarakat bagaimana Institusi Yang di-Pertuan Agong berupaya mengawal keadaan negara apabila berlakunya tiga perkara itu,” katanya ketika ditemui menjadi tetamu dalam program Influencer@JaPen terbitan Jabatan Penerangan di jabatan tersebut, di sini baru-baru ini.

Dr. Noor Nirwandy menepis dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan proklamasi darurat yang diisytiharkan ini bertentangan dengan prinsip demokrasi yang sedia ada menjadi amalan di negara ini.

“Masyarakat harus memahami, bawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan terdapat peruntukan untuk Yang di-Pertuan Agong mengisytiharkan darurat, jadi tidak timbul sama ada perkara ini berlawanan dengan demokrasi kerana asas demokrasi sesebuah negara tidak kira apa bentuk demokrasi, kita harus mengikuti peruntukan yang ada dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Kini tibalah masanya bagi anak muda generasi sekarang daripada pelbagai kaum harus melihat keutamaan untuk memahami Perlembagaan Persekutuan dan kita lihat Perlembagaan Persekutuan juga harus dibaca bersama-sama dengan Prinsip Rukun Negara di mana kedua-dua ini memberikan gambaran peranan bagaimana untuk mentafsirkan demokrasi supaya masyarakat faham dan tidak terjebak dengan polimik yang mengatakan bahawa darurat bukanlah demokrasi,” katanya.

Menurut Dr Noor Nirwandy, apabila pandemik COVID-19 melanda dunia, negara tertakluk kepada elemen keselamatan kesihatan yang menjadi agenda utama untuk ditangani.

“Elemen keselamatan kesihatan akibat pandemik ini membuka satu jajaran yang cukup besar yang turut melibatkan keselamatan ekonomi dan keselamatan politik dan ini seharusnya dilihat bagaimana untuk memastikan isu yang bermula dengan keselamatan kesihatan ini dapat dibendung agar tidak memberi kesan yang lebih teruk.

“Maka perisytiharan darurat adalah satu solusi terbaik buat masa ini bagi menstabilkan keadaan kerana walaupun kita berada dalam keselamatan kesihatan pandemik COVID-19, kita juga tertakluk kepada keselamatan ekonomi dan keselamatan politik yang harus diselesaikan dengan satu solusi yang boleh meredakan keadaan dan membina satu bentuk pengukuhan ekonomi, mahupun politik,” katanya.

Rakaman temu bual boleh diikuti melalui pautan tersebut: https://www.youtube.com/watch?v=MoLxqZ_QbvU

Tinggalkan komen anda