Laporan/foto: Jamilah Sulaiman Nasution (Seremban)/Jabatan Pertanian Negeri Sembilan
SEREMBAN, 23 Feb (Malaysiaaktif) – Bagi menggalakkan golongan belia di bawah umur 40 tahun untuk menceburi bidang pertanian, kerajaan negeri mengambil langkah proaktif mewujudkan skim Insentif Petani Muda.
Menerusi satu kenyataan yang dimuat naik di Facebook Jabatan Pertanian Negeri Sembilan, antara objektif skim Insentif Petani Muda ini adalah untuk mengubah persepsi belia terhadap sektor pertanian yang mana merupakan sebahagian daripada bidang kerjaya serta merupakan industri yang mampu memberikan pulangan lumayan.
“Bawah skim ini, belia yang berkelayakan boleh mendapat pembiayaan sehingga maksima RM10,000 bagi setiap projek.
“Pembiayaan tersebut akan diberikan dalam bentuk kerja-kerja pembangunan infrastruktur ladang seperti perparitan, sistem pengairan, jalan ladang dan bahan input pertanian,” menurut kenyataan tersebut.
Suzilawati Kamarudin, 35, yang merupakan graduan dalam bidang pertanian menyambut baik usaha kerajaan negeri dalam membantu golongan belia sepertinya.
“Masalah pengangguran dalam kalangan siswazah juga boleh dikurangkan jika mereka yang terbabit sanggup bekerja sendiri termasuk menceburi bidang pertanian ini yang sudah tentu ia sentiasa mendapat pasaran.
“Saya yakin jika graduan lain juga berminat dan ada usaha menceburi bidang pertanian ini pasti ia boleh mengurangkan kadar import sayuran dan makanan dari luar negara sekali gus membantu menyelamatkan ekonomi negara,” ujarnya.
Dalam pada itu, selain Insentif Petani Muda kerajaan negeri turut menyalurkan empat lagi insentif di bawah kelolaan Jabatan Pertanian Negeri Sembilan iaitu Insentif Siswazah Tani (Insist9), Insentif Pembangunan Tanah Terbiar, Insentif Pengeluaran Agro Makanan dan Insentif Keselamatan Makanan.
-FF